RM2 juta bangunkan usahawan pra-francaisor, pra-francaisi
LANGKAWI - Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menyasarkan untuk membangunkan 24 pra-francaisor dan 48 pra-francaisi melalui program Business In-Transformation (BIT) dalam tahun ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Ahmad Fuad Che Ani @ Abd Ghani berkata, Pernas memperuntukkan pembiayaan RM2 juta untuk merealisasikan hasrat itu, selain mewujudkan 300 peluang pekerjaan baharu.
Menurutnya, agensi bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu juga optimis program BIT mampu melahirkan lebih ramai usahawan francais terutama kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Sehingga kini, RM13.35 juta telah disalurkan kepada usahawan BIT yang berkelayakan.
“Melalui program ini juga, Pernas berjaya melahirkan 1,400 usahawan pra-francaisi serta memberi peluang pekerjaan kepada lebih 2,800 orang,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mini Business In-Transformation Expo (Mini BITe) 2023 di Langkawi pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan) Negeri Sarawak, Ripin Lamat dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pernas, Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek.
Ahmad Fuad berkata, program BIT merupakan program mentransformasikan perusahaan kecil dan sederhana menjadi perniagaan lebih berdaya saing yang boleh dikembangkan kepada perniagaan francais.
“Sejak diperkenalkan pada tahun 2013, sebanyak 207 buah syarikat pelbagai sektor telah mendaftar dalam program ini,” jelasnya.
Menurutnya lagi, penganjuran Mini BITe 2023 mampu menjadi platform terbaik dalam mempromosikan program BIT kepada golongan sasar, khususnya di Langkawi bagi melahirkan lebih ramai usahawan baharu terutama dalam perniagaan sistem francais.
“Program Mini BITe merupakan inisiatif Pernas dan LADA bagi membantu usahawan BIT mempromosikan pakej dan model perniagaan mereka. Ia juga membuka peluang kepada peserta untuk ceburi bidang keusahawanan khususnya perniagaan bersistematik seperti BIT, seterusnya berkembang kepada perniagaan francais,” ujarnya.
Ahmad Fuad memaklumkan, penganjuran program ini juga selaras dengan matlamat melahirkan lebih ramai usahawan Kedah khususnya Langkawi, seterusnya menjana ekonomi negeri ini.
“LADA turut menyalurkan bantuan khusus kepada usahawan Langkawi melalui inisiatif khas bawah HELANG, iaitu Projek Ekonomi Baru (PEB).
“Seramai 1,505 orang mendapat manfaat dengan jumlah perbelanjaan RM 826,074 bagi tempoh tiga tahun tersebut,” katanya.
Tegasnya, perniagaan francais merupakan platform terbaik dalam melahirkan lebih ramai usahawan kalangan PMKS.
“Kerjasama ini dapat membantu mentransformasikan perniagaan mereka supaya berdaya saing dengan jenama-jenama besar seterusnya dikembangkan ke peringkat global.
“Sehingga kini, seramai 200 usahawan berdaftar dengan LADA merangkumi tiga bidang utama, iaitu produk kecantikan dan kesihatan, barangan cenderamata dan kraf serta produk makanan/minuman,” jelasnya.
Ahmad Fuad berharap pelaksanaan Mini BITe 2023 dapat membantu usahawan BIT mempromosikan pakej dan model perniagaan mereka selain membuka peluang menceburi bidang keusahawanan francais.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!