PTPTN bantu pelajar MRSM
SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui Program Harapan Kasih menyampaikan bantuan kepada Muhammad Zaheer Norhasdi, 14, yang telah dipilih sebagai anak angkat agensi itu di bawah Skim Anak Angkat Yayasan Pelajaran MARA (YPM).
PTPTN dalam kenyataannya memaklumkan, sumbangan itu diserahkan di kediaman Muhammad Zaheer di Rawang.
Kenyataan itu memberitahu, Muhammad Zaheer merupakan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar, Perak, terpilih menerima penajaan elaun persekolahan secara bulanan sebanyak RM100 selama lima tahun melibatkan jumlah keseluruhan RM6,000.
"Sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime secara one off turut diberikan berjumlah RM200.
"Pelajar ini turut menerima sebuah peranti Lenovo M8 untuk memudahkan pembelajaran dan bakul makanan berupa barangan keperluan harian bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga tersebut," menurut kenyataan itu pada Selasa.
Ujar kenyataan itu, YPM juga tidak ketinggalan memberikan sumbangan berupa wang tunai bernilai RM500 dan bakul makanan pada program sama.
Melalui Skim Anak Angkat YPM, PTPTN telah memberi penajaan elaun persekolahan dan sumbangan akaun Simpan SSPN Prime secara one off kepada 20 anak angkat terpilih berumur 13 tahun selama lima tahun mulai tahun 2022 hingga tahun 2026.
Penerima terdiri daripada pelajar Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 5 melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM124,000 melalui peruntukan zakat PTPTN di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya prihatin dengan keadaan ekonomi semasa yang mencabar dan turut menjejaskan kualiti kehidupan masyarakat.
Kata beliau, pelbagai inisiatif telah dirancang bagi meringankan beban golongan memerlukan dan menyantuni segenap lapisan masyarakat.
"Pada hari ini tumpuan kami adalah untuk memastikan pelajar asnaf dapat meneruskan pengajian mereka dengan bantuan sumbangan daripada PTPTN.
"Diharapkan melalui program ini, masalah keciciran persekolahan akibat kemiskinan dapat dikurangkan melalui akses pendidikan sama rata,” tambah beliau.
Jelasnya, PTPTN juga turut mengalu-alukan dan proaktif menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi mengadakan program berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memastikan bantuan diberikan merangkumi pelbagai golongan sasar.
“PTPTN menyambut baik kerjasama yang dijalin bersama YPM bagi menjayakan program seperti ini," menurutnya.
Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Faisalludin Mohamat Yusuff berkata, YPM amat berbesar hati dengan jalinan kerjasama antara pihak beliau dan PTPTN.
Menurut beliau, usaha itu jelas menunjukkan keprihatinan PTPTN terhadap golongan kurang bernasib baik.
"MARA melalui YPM sentiasa mengalu-alukan mana-mana agensi, pihak korporat dan individu untuk bersama-sama YPM melaksanakan CSR pendidikan demi kemajuan pendidikan anak-anak pelajar di negara kita," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!