Al-Ittihad kekal huni tangga teratas Liga Pro Saudi
AL-ITTIHAD mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Pro Saudi selepas menewaskan Al-Wehda 3-0 di Stadium King Abdul Aziz, Mekah pada awal pagi Selasa.
Bagaimanapun, kemenangan bergaya skuad kendalian Nuno Espirito Santo itu diselubungi dengan masalah kecederaan paha yang menimpa kaptennya, Karim Benzema.
Al-Ittihad kini dikaitkan dengan perpindahan bintang Liverpool, Mohamed Salah dan kesukaran mereka menembusi benteng Al-Wehda di babak pertama membuktikan mengapa kapten Mesir itu menjadi buruan.
Kelab Saudi itu dilaporkan membuat tawaran melebihi 175 juta pound (RM1.03 bilion) setahun - jumlah yang diterima Cristiano Ronaldo di Al-Nassr ketika ini.
Beberapa laporan di Sepanyol mengatakan, Salah sedia berpindah, namun pengendali Liverpool, Jurgen Klopp pantas menafikan spekulasi berkenaan.
Selain Benzema, Al-Ittihad turut diperkuat dengan kehadiran dua lagi bintang Eropah - N'Golo Kante yang berpindah dari Chelsea dan Fabinho (Liverpool).
Benzema yang dibawa masuk dari Real Madrid, kini telah merekodkan empat gol dalam tujuh penampilan pertamanya buat juara Liga Pro Saudi itu.
Al-Ittihad akan kembali beraksi pada Jumaat ini apabila melayani kunjungan kelab di tangga kedua, Al-Hilal yang diperkuat Neymar, Aleksandar Mitrovic dan Ruben Neves.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!