Hong Wan dan Damien 'keluar', Azri 'masuk'
PENJAGA gol Sabah FC, Damien Lim dan pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Nathaniel Shio Hong Wan terpaksa diketepikan bagi kem latihan pusat kali ini selepas mengalami masalah kecederaan.
Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkata, penjaga gol KL City FC, Azri Ab Ghani dipanggil bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Damien.
"Penjaga gol KL City FC, Azri Ab Ghani yang sebelum ini berada dalam senarai bersedia dipanggil melapor diri ke kem latihan pasukan kebangsaan bermula hari ini (Selasa).
"Namun, buat masa ini tiada sebarang penggantian pemain dari senarai bersedia bagi mengisi tempat Hong Wan untuk menjadikan skuad panggilan kali ini disertai seramai 25 orang pemain.
"Semoga Damien dan Hong Wan cepat kembali sembuh dan seterusnya dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Skuad Harimau Malaya kini dalam rangka persiapan untuk menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa berdepan Syria dan China di Chengdu, China pada 6 dan 9 September depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!