SKMM adakan sesi dialog, mesyuarat bersama organisasi media
SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil inisiatif mengadakan beberapa sesi dialog dan mesyuarat bersama organisasi media bagi membincangkan isu berkaitan kenyataan ‘SKMM Harus Berhenti Daripada Bertindak Sebagai Big Brother’ oleh wartawan-wartawan kanan.
Komunikasi Korporat SKMM dalam kenyataan berkata, pihaknya kekal berpendirian teguh dalam melaksanakan tugas dan fungsi penguatkuasaannya bagi menjaga integriti maklumat dan keharmonian masyarakat.
“SKMM berpandukan peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) yang membolehkan SKMM menjalankan fungsi-fungsinya.
“Salah satu tanggungjawab perundangan utama SKMM adalah memastikan platform dalam talian tidak diguna pakai untuk sebarang perlakuan atau percubaan melakukan pelanggaran di bawah undang-undang bertulis Malaysia, ini termasuklah tindakan menyebarkan berita palsu, kandungan yang jelik dan berunsur fitnah,” kata kenyataan tersebut pada Selasa.
Pada Selasa, wartawan-wartawan kanan menerusi kenyataan bersama bertajuk ‘SKMM Harus Berhenti Daripada Bertindak Sebagai Big Brother’ menyatakan bahawa tidak bersetuju dengan SKMM yang bertindak seolah-olah sebagai ‘abang besar’ dengan sewenang-wenangnya menyekat kandungan dalam talian.
Kenyataan daripada wartawan kanan diwakili Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar; wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin; Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Press Institute (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Yong Soo Heong ; bekas Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab dan penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia yang juga penganalisis politik, Dr G Manimaran.
Dalam pada itu, menurut kenyataan SKMM, terdapat peningkatan yang membimbangkan dalam penerbitan berita yang kurang bertanggungjawab, kurang peka dan kurang tepat sejak kebelakangan ini.
Ujarnya, terdapat organisasi media yang telah menerbitkan kandungan yang tidak tepat dan mengelirukan.
“Beberapa organisasi media didapati tidak bertanggungjawab menyebarkan berita yang mengelirukan atau dengan sengaja menyiarkan kandungan kurang tepat.
“Apabila tumpuan diberi kepada kandungan media yang dijana sendiri pengguna menarik perhatian, etika kewartawanan kini seolah-olah dipandang enteng dan adalah amat mencabar untuk membezakan kandungan yang berlandaskan fakta atau sebaliknya.
“Senario ini memberi ancaman kepada keharmonian masyarakat memandangkan maklumat yang mengelirukan disebar dengan mudah dan menimbulkan naratif yang kurang tepat,” ulas kenyataan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!