PRK: Polis tubuh pasukan pantau isu 3R
MUAR - Polis Johor menubuhkan satu pasukan khas bagi tujuan pemantauan berhubung isu berkaitan agama, bangsa dan institusi Diraja (3R), yang ditimbulkan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai (P.161) dan DUN Simpang Jeram (N.13), ketika ini.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, pasukan berkenaan turut ditugaskan untuk memantau laman-laman sosial milik mana-mana parti politik yang bertanding pada PRK kali ini yang didapati cuba membangkitkan isu berkenaan.
Malah katanya, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya isu berkenaan (3R) cuba dibangkitkan oleh mana-mana pihak (parti politik) di sepanjang tempoh PRK kali ini.
“Polis Johor menubuhkan pasukan pemantauan berkaitan isu 3R termasuk dalam kalangan penyokong parti politik sepanjang kempen PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.
“Dalam pemantauan berkenaan, polis turut menubuhkan pasukan untuk kawal dari segi (aplikasi) TikTok dan sebagainya untuk mengesan kesalahan tersebut,” katanya dalam sidang media di Dewan Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar dan Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz.
Sabtu lalu, isu berkenaan (3R) disentuh dalam ceramah Presiden Pas, Abdul Hadi Awang sempena program Ceramah Perdana di Markaz Pas, Bakri.
Susulan itu, laporan polis terhadap Abdul Hadi telah dibuat di Kuala Lumpur dan difahamkan beliau berkemungkinan akan dipanggil oleh bahagian siasatan jenayah Bukit Aman untuk siasatan lanjut.
Untuk rekod, kertas siasatan terhadap Abdul Hadi dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 11 permit ceramah dan 24 permit berkempen telah diluluskan di kedua-dua kawasan pada PRK kali ini.
“Sepanjang tempoh berkempen mulai 26 Ogos hingga semalam (28 Ogos), polis telah terima 17 permit ceramah bagi kawasan N.13 (Simpang Jeram), di mana 11 lulus dan dua ditolak kerana ceramah bukan berada dalam kawasan pilihan raya.
“Bagi P.161, Pulai pula, sebanyak enam permit ceramah dan 21 permit kempen telah diluluskan,” katanya.
Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, pihaknya masih belum dapat mengesahkan wujudnya elemen perjudian bagi menentukan keputusan pilihan raya pada PRK kali ini.
Bagaimanapun katanya, perkara berkenaan akan diberikan perhatian dalam usaha mengawal dan memastikan ia tidak berlaku.
“Setakat ini kita tak dapat lagi mengenai elemen-elemen perjudian yang akan pengaruhi keputusan PRK ini.
“Difahamkan, elemen perjudian ini akan control (kawal) keputusan pilihan raya... setakat ini kita tak dapat lagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!