Tiga terlibat pengeboman Daesh di Iraq jalani hukuman gantung

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

BAGHDAD - Keluarga mangsa serangan yang disyaki dilakukan militan Daesh pada 2016 di sini yang mengorbankan lebih 300 orang menyatakan kepuasan mereka terhadap hukuman mati ke atas tiga orang yang terlibat dalam letupan itu.

Pada Isnin, Perdana Menteri Iraq, Mohammed al-Soudani mengumumkan bahawa ketiga-tiga tertuduh digantung sampai mati berkaitan serangan bom kereta yang berlaku di kawasan beli-belah Karrada di bandar itu. Mereka yang dihukum mati tidak dinamakan.

Sebuah bom kereta telah diletupkan ketika orang ramai sedang menikmati malam pada bulan Ramadan. Sekurang-kurangnya 323 orang terbunuh.

"Sekiranya bukan kerana tindakan kami yang berterusan dalam mengikuti perkembangan kes, ia akan diabaikan, tetapi terdapat desakan daripada orang ramai mengenainya," kata Hazem Razzouqi daripada keluarga itu.

Razzouqi, bapa kepada Amar, seorang jurutera komputer berusia 24 tahun yang terbunuh dalam letupan tersebut berkata, keluarga-keluarga itu telah 'menyatakan kegembiraan mereka' mengenai hukuman mati itu.

"Ini adalah kemenangan untuk darah anak-anak kita,” kata Razzouqi kepada Agensi Berita Jerman (dpa).

Perdana Menteri Iraq menyifatkan hukuman itu "adil" semasa pertemuan dengan keluarga mangsa pada Isnin.

Pihak berkuasa Iraq berkata mereka masih mencari suspek lain yang terlibat dalam letupan itu yang masih bebas. - Bernama/dpa

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!