Tidak boleh had kerusi wanita, lelaki dalam pilihan raya

Rabiatul Adawiyah
Rabiatul Adawiyah
A
A
A

SHAH ALAM - Semua parti politik tidak boleh mengehadkan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk diisi oleh calon wanita atau lelaki kerana ia akan membantutkan hasrat individu bertanding.

Ketua Biro Guaman dan Undang-undang Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rabiatul Adawiyah Sulaiman berkata, contohnya terdapat sesetengah kawasan dianggap 'kerusi wanita' iaitu di Parlimen Ampang dan Sepang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

"Ini kerana keseluruhan calon bertanding di kawasan berkenaan adalah wanita.

"Tetapi dalam pilihan raya tiada kriteria menyatakan calon itu (wajib) lelaki dan wanita," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panel dalam program Wacana Sinar bertajuk 66 Tahun Merdeka: Di mana Kuasa Politik Wanita yang dihoskan Herleena Pahlavy.

Panel lain yang turut terlibat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim; Pengarah Strategik dan Pengurusan Risiko Muslimat Pas, Wan Hasrina Wan Hassan dan Ketua Srikandi Muda Bersatu Malaysia, Nurul Fadzilah Kamaluddin.

Mengulas lanjut, Rabiatul berkata, hakikat yang paling mengecewakan apabila parti tidak dapat memenuhi janji berhubung kuota 30 peratus untuk wanita bagi bertanding dalam pilihan raya.

"Memang ada penurunan dari segi peratusan (calon wanita) dan ia hakikat yang perlu kita telan.

Artikel Berkaitan:

"Dalam parti sendiri pun memang ada kekecewaan tersebut, bukan kita pejam mata namun dari sudut pandangan dan perspektif yang lebih besar mengenai pilihan raya, ia tidak hanya mencakupi soal calon wanita atau lelaki.

"Ini kerana kita mempunyai demografik sangat unik, bukan sahaja menceritakan soal jantina tetapi perbezaan lain yang juga perlu diuruskan.

"Sebagai contoh ada sesetengah kawasan yang mungkin kehendaknya adalah calon Melayu atau bangsa lain.

"Maksud pertimbangan kepimpinan parti itu ada pelbagai dan terlalu luas maka keputusan dibuat mengambil kira faktor berkenaan demi kemenangan parti," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!