Pas tidak diskriminasi penglibatan wanita dalam pilihan raya
SHAH ALAM - Pas tidak pernah mendiskriminasi golongan wanita untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya negeri (PRN).
Pengarah Strategik dan Pengurusan Risiko Muslimat Pas, Wan Hasrina Wan Hassan berkata, perkara itu dapat dibuktikan apabila penglibatan Muslimat Pas sebagai calon bertanding pada PRU menunjukkan peningkatan.
Menurutnya, pada PRU14, seramai sembilan orang calon wanita atau enam peratus bertanding daripada 160 kerusi yang dipertandingkan.
“Sementara itu, pada PRU15 lalu, calon wanita bagi Parlimen adalah seramai lapan orang daripada 63 kerusi yang dipertandingkan.
“Secara keseluruhan, jumlah kerusi yang dipertandingkan berkurang kerana Pas bertanding di bawah Perikatan Nasional. Ini bermakna, berlaku kenaikan sebanyak 100 peratus calon muslimat dalam pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Siri 410 yang bertajuk ‘66 Tahun Merdeka: Di Mana Kuasa Politik Wanita’ yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.
Program itu dihoskan Herleena Pahlavy dan turut menampilkan tiga panelis lain iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim; Ketua Biro Guaman dan Undang-undang Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rabiatul Adawiyah Sulaiman dan Ketua Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Nurul Fadzilah Kamaludin.
Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan kerusi muslimat yang dipertandingkan sebanyak lima kerusi telah berjaya dimenangi.
Pada masa sama, Wan Hasrina memberitahu bahawa pihaknya kini sedang membina pelapis ke arah kepimpinan berlandaskan syariat Islam menerusi penubuhan Akademi Pengajian Saidatina Aisyah.
Jelasnya, akademi berkenaan ditubuhkan untuk melahirkan Muslimat Pas yang memiliki ciri-ciri kepimpinan seperti berani dan mampu berhujah di hadapan orang ramai.
“Kami dalam Muslimat Pas ada membina beberapa siri modul kepimpinan. Alhamdulillah, hasil daripada latihan itu kita dapat menonjolkan calon-calon muslimat yang lebih ramai pada hari ini.
“Bagaimanapun, bukan kuantiti yang kami kejar sebaliknya kualiti. Kita mahu muslimat yang dilahirkan itu berilmu dan memiliki kualiti dalam berhujah,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!