Malu nasib bola sepak Kelantan

ANIZAN DAUD
ANIZAN DAUD
A
A
A

LEGENDA bola sepak Kelantan, Anizan Daud meluahkan rasa malu dan terkilan dengan nasib malang skuad The Red Warriors (TRW) yang menjadi 'sajian' pasukan-pasukan Liga Super sejak kebelakangan ini.

Malah bekas pemain kebangsaan dan Kelantan era 1980-an itu turut merasakan maruah pasukan itu bagi digadai tanpa nilai berbanding ketika zaman kegemilangannya merupakan antara skuad yang digeruni dalam kancah Liga Malaysia.

“Saya bekas pemain pernah main dengan Kelantan. Rasa terkilan dan malu dengan diri sendiri. Malu dengan nasib bola sepak Kelantan. Maruah bagai tergadai.

“Sebelum ini jadi kebanggaan. Kita (Kelantan) antara pasukan terkuat. Kalau kalah pun sebelum ini tak sampai jadi lauk,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Kelantan FC merakamkan rekod terburuk dalam sejarah sejak penubuhan pasukan pada 1946 apabila dibelasah tanpa ihsan oleh Selangor FC 2-11 pada saingan aksi Liga Super minggu lalu.

Malah lebih memeritkan kekalahan itu berlaku depan penyokong sendiri di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Nasib malang itu bukan kali pertama, tapi ketiga berturut-turut selepas menjadi lauk 0-8 kepada Terengganu FC (9 Ogos), diikuti Johor Darul Ta’zim (JDT) 10-0 pada Piala Malaysia.

Justeru Anizan berharap segala kelemahan pasukan dapat ditambah baik agar ia tidak berterusan menjadi malapetaka buat bola sepak Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga sedar skuad TRW adalah milih pihak tertentu, tetapi pasukan itu membawa nama Kelantan yang perlu dipelihara daripada diperkotak-katikkan dalam arena bola sepak negara.

Sebagai solusi kata beliau, andai pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman tidak berupaya menguruskan pasukan dengan baik, jalan terbaik ialah mengundur diri.

“Baiki segala kelemahan. Jika tidak berupaya lebih baik undur diri. Ini melibatkan maruah negeri. Nama baik Kelantan lebih utama berbanding kepentingan diri,” ujar Anizan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!