Tiga bekas penyokong BN gagal cabar UMNO tidak tanding dua jawatan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tiga bekas penyokong Barisan Nasional (BN) gagal mencabar kelulusan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung usul tambahan UMNO yang tidak mempertandingkan dua jawatan utama dalam pemilihan parti itu, di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.

Mereka ialah dua bekas ahli UMNO Cawangan Kampung Bukit C2 Lembah Pantai, Satarriah Abdul Karim dan Zaidi Abdul Majid serta seorang bekas ahli MIC Lembah Pantai, P Vellasamy.

Hakim, Datuk Amarjeet Singh memutuskan demikian selepas menolak permohonan kebenaran mereka untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar arahan Saifuddin yang membenarkan resolusi tidak bertanding untuk jawatan dua tertinggi UMNO ketika perhimpunan agung parti, pada 2022 lalu.

Beliau berkata, mahkamah tidak boleh mendengar permohonan yang melibatkan parti politik, seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.

Mahkamah juga katanya, tidak membuat sebarang perintah untuk kos.

Peguam, Thalia Rohaina Abdul Latiff mewakili tiga individu berkenaan, manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili Saifuddin dan RoS.

Menerusi permohonan kebenaran itu, ketiga-tiga individu itu menamakan Saifuddin, Kerajaan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan UMNO selaku responden.

Mereka (ketika itu penyokong BN) memohon kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah certiorari untuk membatalkan kelulusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

Yang mana ia mengecualikan UMNO daripada mematuhi Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 menurut peruntukan Seksyen 70 akta sama.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa surat RoS bertarikh 3 Mac lalu yang mendapati bahawa usul tambahan UMNO yang diputuskan di Perhimpunan Agung 2022 adalah tidak teratur, bertentangan perlembagaan parti dan tidak sah.

Turut dipohon, ialah satu perisytiharan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO hendaklah dipertandingkan dalam masa 30 hari dari tarikh penghakiman.

Pemohon berkata pada 13 Januari lalu, suatu usul tambahan UMNO dicadangkan ketika Perhimpunan Agung UMNO 2022 pada 11 hingga 14 Januari lalu, berhubung ketiadaan pertandingan untuk dua jawatan utama pada Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO bagi penggal 2023-2026.

Mereka berkata, pada 2 Mac lalu, RoS mengeluarkan surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung UMNO bertajuk Pengesahan Berhubung Usul Tambahan Ucapan Dasar Presiden Di Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang ditandatangani Ketua Pengarah RoS.

Kata mereka, dalam surat itu RoS mendapati usul tambahan UMNO yang diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO 2022 adalah tidak teratur dan bertentangan dengan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO, oleh itu ia adalah tidak sah.

Menurut pemohon, sewajarnya RoS mewajibkan UMNO untuk mengambil tindakan pembetulan untuk mematuhi Fasal 9.3 perlembagaan parti itu.

Tiga pemohon ini mendakwa, pada 7 Mac lalu, satu kenyataan media dikeluarkan oleh Saifuddin yang menyatakan bahawa kementeriannya memutuskan untuk memberi pengecualian menurut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) akta sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!