Budak 5 tahun lemas dalam kolam renang
SABAK BERNAM - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dipercayai lemas di dalam sebuah kolam renang rekreasi di sebuah inap desa di Jalan Sungai Panjang di sini pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintenden Khalid Mohamad berkata, kejadian kira-kira jam 5.05 petang itu disedari bapanya yang berusia 36 tahun.
Menurutnya, ketika kejadian bapa mangsa mencari anak keempat daripada lima beradik itu sebelum terdengar jeritan daripada anak sulungnya berusia 12 tahun yang ternampak adiknya tidak sedarkan diri dalam kolam dewasa.
"Lelaki itu kemudiannya mengeluarkan anaknya dan cuba memberikan bantuan pernafasan, tetapi mangsa tidak sedarkan diri.
"Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Merbau Berdarah yang terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian sebelum disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan semasa tiba di klinik itu kira-kira jam 6.25 petang.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sabak Bernam dan akan dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh bagi proses bedah siasat, katanya.
Khalid berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa ke kolam rekreasi itu bersama bapa dan tiga lagi adik-beradiknya berusia 9, 11 dan 12 tahun.
"Semasa kejadian, ibu mangsa berada di rumah bersama anak bongsu.
"Keluarga tersebut tidak menginap di inap desa, sebaliknya hanya berkunjung untuk mandi di kolam renang rekreasi yang dibuka kepada pengunjung luar," jelas beliau.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kecuaian sehingga menyebabkan kematian mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!