PRK: Calon Bebas tangani kemiskinan bandar jika menang

Samsudin bertemu orang ramai semasa berkempen di sebuah restoran di Kempas, Johor Bahru, pada rmalam Selasa
Samsudin bertemu orang ramai semasa berkempen di sebuah restoran di Kempas, Johor Bahru, pada rmalam Selasa
A
A
A

JOHOR BAHRU - Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Samsudin Mohamad Fauzi akan merangka formula penyelesaian kadar sewa rumah bagi setiap lokaliti dalam menangani kemiskinan bandar jika menang pada 9 September ini.

Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) itu berkata, ini kerana kos sewa rumah tinggi adalah antara isu utama membelenggu masyarakat di bandar raya ini yang masih menyewa.

"Masalah di Pulai iaitu Parlimen yang berada dalam daerah Johor Bahru adalah kos sewa rumah tinggi, secara puratanya RM1,000 ke atas. Kadar sewa ini termasuk di kawasan B40 sedangkan ada antara mereka masih lagi gaji maksimum RM1,500.

"Bayangkan lebih daripada separuh gaji bulanan mereka dibayar untuk rumah sewa rumah. Ini aduan masalah yang saya terima semasa berkempen. Secara khususnya mereka mahu jika kadar sewa itu ditetapkan RM800 ke bawah.

"Jadi kajian untuk formula penyelesaian itu perlu dilakukan dengan mengenal pasti lokaliti kawasan masing-masing. Berapa kadar sewa sesuai di kawasan tersebut perlu diselarikan dengan ekonomi setempat, jangan kita pukul rata.

"Memang kita tahu 'willing buyer willing seller' tapi kita perlu ada satu garis panduan. Garis panduan untuk gaji minimum boleh buat, kenapa tidak boleh wujudkan garis panduan untuk kadar sewa rumah," katanya ditemui semasa berkempen di bandar raya ini pada Rabu.

Pada PRK Parlimen Pulai, beliau yang bertanding menggunakan logo kunci akan berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar dan calon Pakatan Harapan (PH) serta BN, Suhaizan Kaiat.

Samsudin berkata, masalah sewa premis perniagaan yang tinggi juga menjadi isu utama dalam kalangan peniaga di Parlimen Pulai sehingga mereka terpaksa menjual barangan dengan harga mahal.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penyelesaian isu sewa rumah dan premis perniagaan yang tinggi terkandung dalam risalahnya selain turut memperjuangkan antaranya kos sara hidup rakyat, memperkasakan Akta Anti Pencatutan bagi mengawal harga serta memerangi along atau ceti haram.

"Saya juga berjuang untuk menghapuskan kod pemotongan gaji kakitangan awam babitkan pinjaman dan pembiayaan Islamik yang tidak adil, bertentangan dengan syariah serta tidak berlesen selain memperjuangkan undang-undang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Saya akan melaksanakan tugas kepada pengundi dan berfungsi di Parlimen sebagai suara bebas tanpa terikat kepada mana-mana parti politik yang sedia ada jika menang di Pulai, 'no yes bos'," katanya.

Selain itu katanya, dalam usaha menyelesaikan masalah kemiskinan bandar, perlu lakukan bancian pada setiap tahun terhadap penghuni Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dibenarkan mendudukinya.

"Jangan apabila mereka sudah keluar daripada B40 tapi masih tinggal di PPR. Ini tidak adil kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Ditanya sambutan kempen yang memasuki hari kelima, beliau berkata, pada mulanya penerimaan orang ramai kurang memberangsangkan namun apabila memberi penjelasan sambil mengedarkan risalah, keadaan bertambah baik.

"Saya mencetak 20,000 risalah untuk kempen PRK ini dan setakat semalam 1,000 risalah sudah diedarkan.

"Saya juga boleh nampak carian mengenai saya dalam 'google' meningkat dengan ketara, mungkin ramai yang nak tahu. Alhamdulilah tanpa diduga saya turut mendapat bantuan enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Johor yang membantu berkempen," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!