Bekas pegawai JAIM didakwa tipu tuntutan wang lebih RM154,000

Muhammad Anuar (kanan) ketika dibawa keluar oleh kakitangan SPRM dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu.
Muhammad Anuar (kanan) ketika dibawa keluar oleh kakitangan SPRM dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Bekas Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu, atas tuduhan melakukan penipuan wang tuntutan berjumlah lebih RM154,000, tujuh tahun lalu.

Muhammad Anuar Md Zin, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas empat pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa telah memperdayakan empat individu untuk mempercayai bahawa resit rasmi bagi maksud pembayaran balik emolumen imbuhan tetap perumahan (ITP), elaun bantuan kos sara hidup (COLA) dan berjumlah elaun kakitangan awam (EKA) kerana peletakan jawatan JAIM-KPM (1/12/2016 - 30/11/2018) keseluruhannya berjumlah RM154,864.40 adalah tulen.

Tindakan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Sumber Manusia 2, JAIM di sini yang mana mereka tidak akan menyerahkan harta itu sekiranya tidak diperdaya sedemikian pada 8 November 2017 hingga 19 Julai 2018.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM Melaka, Nur Syakila Yaacob mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Sementara itu, Peguam Mohd Nazri Abd Hamid yang mewakili tertuduh memohon jaminan yang rendah kerana tertuduh merupakan bapa tunggal kepada tiga orang anak selain menjaga ibu bapanya yang telah uzur.

Mahkamah kemudian membenarkan jumlah jaminan yang dicadangkan pihak pendakwaan dan mengarahkan tertuduh melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM Melaka.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah turut menetapkan 15 September depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.