Penghantar makanan buat panggilan bom palsu dipenjara sehari
IPOH - Seorang penghantar makanan yang membuat panggilan bom palsu di sebuah pusat beli-belah di sini, minggu lalu didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu.
Tertuduh, Mohammad Nasriq Samsudin, 38, didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 1, Pejabat Pengurusan AEON Klebang Mall, Ipoh Klebang, Jalan Kuala Kangsar, Chemor di sini jam 4.15 petang pada 23 Ogos lalu.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah melalui telefon dengan mengatakan terdapat bom akan meletup di AEON Mall Klebang.
Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun tertuduh mengaku bersalah di hadapan Majistret Punitha selepas pertuduhan dibacakan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan penjara selama sehari berserta denda RM4,000 manakala penjara lima bulan boleh dikenakan jika gagal membayar denda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala tertuduh diwakili peguam, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Siti Hajar Hamzah.
Pada 23 Ogos lalu, kompleks beli-belah gempar apabila pihak pengurusannya menerima panggilan bom palsu sehingga memaksa bangunan tersebut dikosongkan sementara untuk pemeriksaan pihak polis.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun di sebuah rumah di Tasek di sini, kira-kira jam 9.30 malam, lima jam selepas pihaknya menerima laporan berkenaan panggilan bom palsu itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Suspek ancaman bom palsu sudah diberkas
Ancaman bom: AEON Mall Klebang kembali beroperasi
AEON Mall Klebang dikosongkan angkara ancaman bom
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!