KLCAH sasar kumpul RM150,000 bantu rumah anak yatim, Orang Asli
SHAH ALAM - Bahagian Wanita Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur (KLCAH) menyasarkan mengumpul dana sebanyak RM150,000 hasil sumbangan orang ramai sempena Pameran Seni Amal Impian di Pavilion Bukit Jalil (Zon Jingga) pada 8 September ini.
KLCAH dalam kenyataannya memaklumkan, pameran berlangsung selama enam hari sehingga 14 September itu bertujuan membantu 15 rumah anak yatim dan kanak-kanak Orang Asli di Perak menerusi bantuan pendidikan dan kos sara hidup.
Kenyataan itu memberitahu, KLCAH bekerjasama dengan Artivo School of Creativity mengadakan pameran itu dengan memaparkan lebih 500 hasil lukisan kanak-kanak.
"Penjualan lukisan kanak-kanak berusia tiga hingga 20 tahun ini diharap dapat membantu anak yatim dan kanak-kanak Orang Asli terpilih.
"Pameran seni itu bertajuk 'masa depan dunia', untuk membayangkan aspek-aspek kehidupan manusia, persekitaran kehidupan, kerjasama dengan makhluk dari luar angkasa dan banyak lagi mengikut bakat imaginasi serta kreativiti masing-masing," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sehubungan itu, kenyataan itu menjelaskan, pameran itu memberi peluang kepada kanak-kanak menonjolkan idea kreatif mereka dan membantu memupuk kasih sayang, saling menghormati serta memahami antara satu sama lain.
"KLCAH mengharapkan sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia mendermakan sebanyak RM10 sekali gus dimasukkan dalam Malaysia Book of Records sebagai penyumbang derma terbanyak," tambahnya.
Pameran seni itu diadakan setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan majlis perasmian pameran pada hari kedua penganjurannya jam 2 petang.
Orang ramai boleh menyokong hasil karya seni tersebut dengan menyumbang sekurang-kurangnya RM10 menerusi pautan https://forms.gle/58yV4g3PSswy5KH28.
Maklumat lanjut dan pertanyaan, sila hubungi: Emel: womenklcah@gmail.com atau Akaun Facebook di https://www.facebook.com/klcah.wanita/
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!