Eksperimen Postecoglou tak menjadi

Postecoglou - Foto AFP
Postecoglou - Foto AFP
A
A
A

EKSPERIMEN Ange Postecoglou mempertaruhkan pemain muda mengundang padah buat Tottenham Hotspur setelah tersingkir pada pusingan kedua Piala Carabao selepas tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Fulham pada Rabu.

Postecoglou melakukan sembilan pertukaran dengan hanya mengekalkan Micky van de Ven dan Richarlison dalam kesebelasan utama.

Dalam aksi itu, Spurs terikat 1-1 dengan Fulham sehingga mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti yang memihak The Cottagers 5-3.

Spurs mengharungi perlawanan itu selepas meraih dua kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menggembirakan pasukan di sebalik penghijrahan penyerang sensasi, Harry Kane.

Di sebalik kekalahan itu, Postecoglou mempunyai alasan tersendiri apabila menjelaskan ia adalah keperluan untuk pemain mendapatkan minit permainan.

“Ramai pemain muda diturunkan dalam perlawanan ini, ia adalah permulaan pertama mereka musim ini.

“Jelas sekali kecewa dengan keputusan itu, tersingkir daripada peluang untuk merebut piala,” kata Postecoglou.

Beliau mempertahankan tindakan tersebut yang dianggap pentas untuk mengenali karakter pemain sebagai persediaan bagi mengharungi jadual perlawanan yang padat.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimana saya hendak mengetahui mengenai pemain saya? Ia bukan bermakna piala ini atau apa sahaja perlawanan tidak penting.

“Kami berada di peringkat untuk memahami pasukan ini dan kami perlu memberi peluang kepada pemain lain.

“Kami akan memerlukan mereka jika terdapat sebarang masalah di sepanjang saingan musim ini termasuk kecederaan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!