Remaja hanyut dibawa arus ditemukan lemas
KOTA BELUD - Remaja perempuan yang dilaporkan hilang dibawa arus ketika mandi di Sungai Kadamaian dua hari lalu ditemukan lemas di Kampung Rajuna, di sini pada pagi Rabu.
Mangsa Qiezlle Uyiko, 14, ditemukan oleh pasukan bomba kira-kira lima kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) pada jam 10.20 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga dimulakan pada awal pagi Rabu.
"Sepasukan anggota dari BBP Kota Belud terlibat dalam SAR dan hasil pencarian berjaya menemui mangsa pada pagi tadi.
"Mangsa ditemukan tersangkut pada dawai ketika pasukan menyusuri tebing sungai berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Katanya lagi, mayat mangsa kemudian dibawa naik ke darat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi SAR kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 12 tengah hari," katanya.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan mangsa dikhuatiri lemas ketika mandi sungai di sebuah kawasan ekopelancongan di Kampung Ratau bersama ahli keluarganya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Remaja dikhuatiri lemas ketika mandi sungai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!