Pemandu Honda Accord dibelasah selepas langgar Axia
SHAH ALAM - Gara-gara tidak berpuas hati kereta dilanggar, lima lelaki bertindak membelasah seorang pemandu yang juga dipercayai ahli perniagaan dalam kejadian di Persiaran Anggerik Mokara, Kota Kemuning di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pelanggaran berlaku di Persiaran Eco Santuary, Telok Panglima Garang di Kuala Langat membabitkan dua kereta jenis Honda Accord yang dipandu mangsa serta Perodua Axia dipandu suspek.
Menurutnya, mangsa berusia 43 tahun itu kemudian bertindak melarikan diri.
"Suspek yang tidak berpuas hati kerana mangsa melarikan diri kemudian telah dipukul hingga cedera di mata kiri, pipi, leher, dada dan telinga.
"Mangsa telah dikejarkan ke Sunway Medical Centre menaiki ambulans dan kini sedang ditahan di wad untuk rawatan susulan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Susulan itu, kata Mohd Iqbal, satu laporan telah dibuat Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada jam 7.33 pagi selepas menerima maklumat daripada orang awam yang melihat kejadian.
Tambahnya, polis kemudian berjaya menahan seorang suspek, manakala empat lagi rakannya telah melarikan diri.
"Polis turut merampas sebilah parang dalam kereta jenis Perodua Axia.
"Usaha masih dijalankan untuk mengesan empat lagi suspek yang masih bebas," ujarnya.
Katanya lagi, suspek berusia 27 tahun itu telah direman empat hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan mengikut Seksyen 147/279 Kanun Keseksaan.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohamad Zulkifli Mohamad di talian 03-55202222," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!