Malaysia #QuranHour medium generasi muda dekati al-Quran
![Badaruddin depan (empat dari kiri) bersama sebahagian peserta Malaysia #QuranHour peringkat negeri di Masjid Sayyidina Ali, Bukit Katil pada Rabu.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2023/08/30/2326210.jpg)
MELAKA - Penganjuran Malaysia #QuranHour kali ini menjadi medium untuk memberi pengertian kemerdekaan yang lebih bermakna terutama kepada generasi muda.
Penyelaras Rumah Ngaji Melaka, Atikah Amir berkata, menerusi penganjuran ini, peserta dapat mendekati al-Quran melalui baca, faham dan amal bersempena sambutan Hari Kemerdekaan.
![Atikah](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2023/08/30/2326209.jpg)
Menurutnya, program kali ini yang memberi fokus kepada golongan muda secara tidak langsung menjadi pemangkin semangat kepada pihaknya untuk memperluaskan pengisian seperti ini di sekolah-sekolah dan kolej di negeri ini.
"Program Malaysia #QuranHour ini memberi motivasi dan semangat untuk kita bawa ke sekolah-sekolah dan kolej.
"Ini bagi membolehkan kita mendekati pemuda, remaja agar kenal apa itu al-Quran, keistimewaannya, peranan al-Quran yang menjadi asas kehidupan kita demi kebaikan dunia dan akhirat," katanya ketika ditemui selepas Malaysia #QuranHour peringkat negeri di Masjid Sayyidina Ali, Bukit Katil di sini, pada Rabu.
![Atikah menyampaikan cenderahati kepada Badaruddin pada program itu.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2023/08/30/2326212.jpg)
Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Badaruddin Mohd Kassim.
Tambahnya, program yang dilaksanakan sejak 2015 itu memberi peluang orang ramai dari pelbagai peringkat umur bersama al-Quran, sebagai permulaan untuk melakukan perubahan minda melalui Quran, Tadabur, Tazakkur (QTT).
"Kita juga bersyukur program yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 dengan membawa misi Surah Al-Fatihah, Surah Al-Insan dan Surah Al-Asr mendapat sambutan menggalakkan hampir 1,000 penyertaan," katanya lagi.
![Sebahagian golongan muda yang turut menyertai program Malaysia #QuranHour di Masjid Sayyidina Ali, Bukit Katil pada Rabu.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2023/08/30/2326211.jpg)
Pada kali ini Malaysia #QuranHour yang berlangsung selama sejam membawa tema 'Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar.'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!