Konsert langgar syariat Islam, tidak sesuai budaya orang timur - Zuraida
SHAH ALAM - Konsert Kepci Music Fest 2023 yang diadakan Sabtu lalu jelas melanggar syariat Islam dan tidak bersesuaian dengan adat budaya orang timur yang mana terdapatnya percampuran lelaki dan wanita bukan mahram serta persembahan-persembahan tarian di atas pentas.
Timbalan Presiden Muafakat Nasional, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, hal ini menjadi lebih parah apabila para pelajar tahfiz yang sedang dalam usaha untuk menghafal Al-Quran juga diheret ke aktiviti tidak sepatutnya itu.
Katanya, secara total sebarang bentuk hiburan tidak ditolak selagi masih mematuhi ajaran dan syariat Islam.
"Namun begitu, sebagai umat Islam, kita seharusnya berupaya untuk memilih bentuk hiburan yang bersesuaian dengan agama dan kepercayaan kita sekali gus tidak melampaui batas atau lunas-lunas telah ditetapkan oleh ALLAH S.W.T.
"Oleh itu, sewajarnya mudir, guru besar atau para pengendali pusat-pusat tahfiz dan rumah-rumah anak yatim muslim harus peka dengan setiap jemputan yang diterima kerana dikhuatiri boleh memberikan impak negatif terhadap pembangunan sahsiah pelajar di bawah seliaan mereka," ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Baru-baru ini, tular video di media sosial memaparkan sekumpulan pelajar tahfiz di konsert Kepci Music Fest 2023
Perkara itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan ibu bapa termasuk pelbagai reaksi daripada netizen.
Zuraida berpendapat, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mengeluarkan lesen hiburan awam seharusnya memainkan peranan dengan menyemak setiap perancangan atau tentatif yang telah dibuat oleh para penganjur majlis hiburan seperti ini.
"Permohonan lesen hiburan sementara perlu diperketatkan lagi bukan sahaja tentatif acara tersebut dilaporkan kepada pihak berkuasa, tetapi juga ditambah dengan memaklumkan kepada mereka senarai tetamu-tetamu jemputan.
"Saya amat berharap perkara ini tidak akan berlaku lagi, yang mana, pelajar tahfiz dan juga anak yatim muslim tidak dibawa ke program-program lagha (sia-sia)," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!