Jabatan Penjara tambah bilangan rumah perantaraan
TAIPING - Jabatan Penjara Malaysia berusaha menambah bilangan rumah perantaraan bagi menempatkan banduan lelaki yang diparol dan bekas banduan yang sedang mencari pekerjaan.
Pengarah Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti, Timbalan Komisioner Penjara, Zawari Abd Rashid berkata, semua negeri menghadapi masalah rumah perantaraan yang tidak mencukupi bagi menempatkan mereka termasuk Orang Bebas Berlesen (OBB).
"Berdasarkan perkembangan semasa yang mana melibatkan sektor perindustrian, perladangan dan sebagainya, rumah perantaraan yang ada kini tidak mencukupi.
"Asalnya rumah ini untuk penempatan orang diparol tetapi bila ada Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL), rumah perantaraan itu juga ditumpang banduan OBB, itu yang menyebabkan tidak mencukupi dan boleh dikatakan semua negeri menghadapi masalah berkenaan.
"Jadi, Jabatan Penjara Malaysia sedang bergerak ke arah mempertingkatkan bilangan rumah perantaraan yang lebih besar lagi," katanya kepada pemberita pada program Perlepasan Banduan 'Merdeka Madani Kepulangan Dinanti' dan Lawatan Kerja ke Kuaters Penjara Taiping (Berek Hitam) di Penjara Taiping di sini pada Rabu.
Menurut beliau, kewujudan premis berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Jabatan Penjara dalam menjayakan dua pertiga banduan menjalani pemulihan dalam komuniti menjelang 2030.
Tambah Zawari, jabatan juga meneruskan usaha mewujudkan rumah perantaraan khusus banduan wanita.
"Kita ada di Selangor dan kita berusaha mengadakan di Pulau Pinang dan negeri-negeri lain. Bagaimanapun, kita lebih mengutamakan banduan lelaki kerana bilangan banduan wanita tidaklah ramai.
"Kita mendapat kerjasama daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang mewakafkan rumah-rumah yang tidak digunakan diambil alih jabatan untuk dijadikan rumah perantaraan seperti di Sabah," katanya.
Rumah perantaraan merupakan premis tempat tinggal yang disediakan oleh Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama NGO bagi menempatkan Orang Diparol (ODP) dan bekas banduan yang baru dibebaskan setelah tamat menjalani hukuman penjara sehingga tiga bulan.
Rumah yang disediakan lengkap dengan kemudahan asas itu menempatkan ODP dan bekas banduan yang baru bebas dari penjara serta tiada tempat untuk tinggal kerana tiada keluarga, keluarga enggan untuk menerima mereka kembali atau mereka yang secara sukarela untuk tinggal di situ.
Pada program itu, seramai 29 OBB berusia 25 hingga 54 tahun dari Penjara Taiping mendapat PBSL yang mana lapan daripadanya dijemput keluarga sementara sembilan lagi dihantar ke rumah perantaraan di Ipoh.
Selain itu, 12 OBB akan menjalani latihan kemahiran berbayar menerusi program 'Corporate Smart Internship' (CSI) dengan pihak industri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!