Mangsa ribut Ampang Hilir dapat perhatian LZS
KUALA LUMPUR - Seramai 26 keluarga terbabit dalam kejadian ribut di Ampang Hilir menerima bantuan awal berbentuk bakul makanan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
LZS memaklumkan sumbangan disalurkan kepada kesemua ketua keluarga yang terkandas di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Persatuan Penduduk Flat Ampang Hilir.
“Zakat Selangor akan terus komited dalam menyantuni insan memerlukan. Semakan dari semasa ke semasa akan dijalankan dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan lain-lain agensi serta bantuan bersesuaian akan disalurkan kepada mereka.
“Terima kasih pengeluar zakat kerana terus berzakat bersama kami,” kata agensi itu di laman Facebooknya pada Rabu selepas membuat lawatan ke lokasi kejadian pada hari sebelumnya.
Ahad lalu, hujan lebat dan angin kencang melanda Taman Ampang Hilir mengakibatkan bumbung rumah pangsa dan gerai sekitar kawasan itu berterbangan sehingga menghalang laluan.
Media kemudiannya melaporkan 18 unit pangsa terjejas dan kerja mengalihkan bumbung selepas kejadian dijalankan sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!