Jangan biar masjid jadi monumen sepi - Sultan Nazrin
IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan penubuhan Majlis Perundingan Masjid yang pertama kali diwujudkan di Malaysia.
Titah baginda, majlis perundingan tersebut bertujuan mencari ramuan dan kaedah baharu untuk mengimarahkan masjid di negeri ini.
Baginda bertitah, banyak masa dan sumber digunakan untuk membina sesebuah masjid dan perkara yang perlu diberikan perhatian ialah aspek pengimarahan masjid.
"Falsafah di sebalik pembinaan masjid harus diselami dan difahami supaya belanja besar membina bangunan tersergam, dilengkapi pendingin udara, dihamparkan permaidani tebal, disilaukan cahaya ‘chandelier’, tidak menjadi monumen sepi, sekadar dimakmurkan seminggu sekali pada hari Jumaat, 30 malam setahun pada bulan Ramadan, dua pagi setahun pada pagi Aidilfitri dan Aidiladha. Selebihnya, masjid tinggal dalam isolasi sebagai bangunan sepi lagi sunyi.
"Banyak masa, banyak usaha, banyak belanja, banyak sumber digunakan untuk membina masjid dan sewajarnya diperlengkap dengan usaha untuk mengimarahkan masjid," titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Ahli Majlis Perundingan Masjid Negeri Perak di Dewan Al-Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini, pada Rabu.
Hadir sama pada majlis berkenaan, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Sultan Nazrin bertitah, masjid berperanan penting sebagai pusat yang mengembangkan syiar Islam dan membangunkan tamadun.
Titah baginda, Rasulullah SAW telah meletakkan masjid berperanan sebagai pusat pentadbiran, pusat pembangunan ilmu, pusat pembangunan budaya dan pusat pembangunan ekonomi.
Malah baginda bertitah, Kongres Ekonomi Bumiputera serta Kongres Ekonomi Islam sebelum ini merumuskan resolusi khusus mengenai peranan untuk lebih aktif, sebagai pusat pembangunan ekonomi, perkembangan ilmu dan pembangunan sosiobudaya.
"Beta gembira mengikuti kemajuan yang berjaya dicipta oleh beberapa buah masjid di negeri Perak melalui program-program yang memenuhi keperluan dan memberi manfaat kepada masyarakat.
"Kejayaan-kejayaan tersebut hendaklah dijadikan contoh ikutan oleh masjid-masjid di negeri Perak," titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah agar Ahli-Ahli Majlis Perundingan Masjid yang dilantik perlu berfikiran besar bagi membolehkan masjid berperanan secara lebih dinamik dan dimerdekakan dari kepompong pemikiran lama yang telah diformulasikan secara terancang oleh penjajah pada masa lalu.
Titah baginda, tindakan penjajah itu mempunyai tujuan tersirat mahu membatasi peranan masjid kepada urusan-urusan ibadat yang ditakrif dengan dimensi yang sempit.
"Majlis Perundingan Masjid ini ialah majlis syura, merupakan entiti baharu, yang diperkenalkan dan ditubuhkan buat pertama kali.
"Semoga melalui Majlis ini akan berlaku perubahan minda dan perubahan budaya, menghasilkan ramuan dan kaedah baharu untuk mengimarahkan masjid," titah Sultan Nazrin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!