Brazil panggil Raphinha ganti Vinicius
PENGENDALI Brazil, Fernando Diniz memanggil Raphinha untuk menggantikan Vinicius Junior yang mengalami kecederaan sebelum skuad Samba memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2026, menurut Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF).
Bintang Real Madrid berusia 23 tahun itu terpaksa berehat hingga enam minggu susulan insiden ketika Madrid menang 1-0 ke atas Celta Viga dalam aksi La Liga, Jumaat lalu.
Kecederaan hamstring itu menyaksikan Vinicius diketepikan bagi aksi kelayakan menentang Bolivia dan Peru pada 8 dan 12 September ini.
Sebagai rekod, Raphinha yang berusia 26 tahun sebelum ini menyertai skuad Brazil pada Piala Dunia 2022 di Qatar, yang ditunjukkan jalan keluar Croatia pada suku akhir.
Bagaimanapun, penampilan Raphinha yang sebelum ini berbakti bersama Vitoria Guimaraes, Sporting Lisbon (Portugal), Rennes (Perancis) dan Leeds United (England) mengharungi permulaan liga yang buruk bersama Barcelona.
Pemain kelahiran Porto Alegre, Brazil itu dibuang padang selepas dilayangkan kad merah pada aksi pertama liga menentang Getafe menyebabkan dia terlepas dua perlawanan kemudiannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!