Serah pada pihak berkuasa siasat isu penyelewengan Yapeim
KUANTAN - Kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa mengenai dakwaan penyelewengan membabitkan wang yang diamanahkan kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata kajian terperinci sedang dilakukan bagi melihat sekiranya badan tersebut terlibat dalam salah laku.
"Bukan sahaja organisasi malah akaun Yapiem turut kita audit supaya kita dapat memastikan ketelusan yang berlaku dan pengauditan secara menyeluruh telahpun siap dilakukan.
"Kita serahkan segala keputusan kepada mahkamah dan biarlah undang-udang yang menentukan.
"Saya tak mahu komen panjang mengenai perkara ini kerana kita perlu menuju ke hadapan sebab kalau dilihatkan banyak lagi salah laku telah dilakukan kerajaan terdahulu," katanya.
Beliau berkata demikian pada program kacau bubur lambuk dan sumbangan Ramadan Flat Pak Mahat di surau flat tersebut, hari ini.
Semalam, sebuah portal berita melaporkan sebanyak RM1 juta dana yang bertujuan untuk membantu anak-anak yatim didakwa telah disalahgunakan bagi membayar yuran guaman peguam yang juga pembantu kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2017.
Ia membabitkan wang yang diamanahkan kepada Yapiem dan pembayaran itu dibuat secara berperingkat dan tanpa kelulusan lembaga pengarah Yapeim.
Kos itu dikatakan digunakan bagi membatalkan saman ke atas Yapeim yang difailkan Kemajuan Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Miskin (Pemangkin).
Fuziah berkata pihaknya akan memastikan pentadbiran di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan lebih tulus dan kita akan pastikan bahawa bantuan diberikan kepada mereka yang layak.
"Macam bantuan untuk anak-anak yatim kita akan pastikan mereka anak yatim khususnya anak yatim ibu tunggal.
"Walaupun Yapiem boleh memberi sumbangan kepada anak-anak yatim di sekolah namun kita lebih suka beri kepada anak-anak yatim bersama keluarga mereka,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!