Penduduk rayu kerajaan bina jambatan

Keratan akhbar Sinar Harian bertarikh 2 Oktober 2018 melaporkan kejadian titi di Kampung Air Kelat, Gerik runtuh disebabkan hujan lebat dan aliran sungai deras. Gambar kanan: Mohd Sabri menunjukkan surat permohonan pembinaan jambatan baharu di Kampung Air Kelat, Tanjung Rambai Gerik yang sudah dihantar ke Pejabat MB Perak dan SUK.

A
A
A

GERIK - Sebuah titi runtuh yang memutuskan hubungan enam keluarga di Kampung Air Kelat, Tanjung Rambai di sini pada 1 Oktober tahun lalu masih gagal dibaiki pihak berwajib sehingga kini meskipun pelbagai aduan dikemukakan.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Tanjung Rambai, Mohd Sabri Abdul Manaf, 36, berkata, titi runtuh disebabkan hujan lebat dan aliran air sungai deras itu merupakan satu-satunya jalan menghubungkan lebih 10 penduduk serta pekebun yang bekerja di ladang seluas 40 hektar.

Menurutnya, pelbagai aduan dikemukakan kepada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak dan Pejabat Menteri Besar Perak melalui Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gerik, namun sehingga kini tiada tindakan susulan diambil.

"Susulan usaha membaik pulih titi masih gagal dilaksanakan, penduduk kampung terpaksa membina titi sementara menggunakan batang pinang untuk kegunaan motosikal sejak enam bulan lalu, namun ia berbahaya terhadap keselamatan penggunanya.

"Selain itu, terdapat satu laluan alternatif dibina Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Gerik menggunakan jalan kabel elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berasaskan batu kerikil.

Penduduk Kampung Air Kelat, Gerik terpaksa membina titi sementara menggunakan batang pinang dan kayu bagi memudahkan penduduk menaiki motosikal melaluinya.
Penduduk Kampung Air Kelat, Gerik terpaksa membina titi sementara menggunakan batang pinang dan kayu bagi memudahkan penduduk menaiki motosikal melaluinya.

"Namun, laluan berbukit itu menyusahkan penduduk kerana menjejaskan kenderaan selain membahayakan keselamatan mereka pada waktu malam atas kebimbangan diserang binatang buas," katanya kepada media di sini semalam.

Mohd Sabri berkata, laluan alternatif itu turut memberi kesukaran kepada enam keluarga terbabit untuk mendapatkan akses jalan lebih dekat ke pekan dan masjid kerana mereka terpaksa melalui jarak lebih jauh.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penduduk kampung amat berharap sebuah jambatan baharu dibina di lokasi titi runtuh untuk memudahkan mereka menjalani urusan kehidupan seharian.

"Kami amat berharap kerajaan negeri lebih prihatin terhadap permasalahan penduduk di sini dan tidak menjadikan ketiadaan peruntukan sebagai alasan.

"Walaupun ia sebuah titi dan bukannya jambatan di jalan kampung, penduduk bergantung sepenuhnya dengan jalan ini untuk mereka bekerja dan menjana pendapatan.

"Jalan itu penting untuk mereka dan pembinaan semula perlu disegerakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!