Malaysia#QuranHour dekatkan banduan, warga penjara kepada al-Quran
KUANTAN - Kempen Malaysia#QuranHour mampu memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya penghuni dan kakitangan Penjara Penor terhadap pentingnya berinteraksi dengan al-Quran.
Pengarah Penjara Penor, Fayrouz Ahmad Zawawi berkata, penghayatan di sebalik Surah Al-Insan yang dibacakan juga signifikan kepada visi dan misi Jabatan Penjara dalam membantu memulih penghuninya melalui pendekatan keagamaan sebagai rangka pemulihan.
Menurutnya, pendekatan keagamaan juga semakin diterima pakai dalam modul pemulihan di institusi-institusi penjara di negara ini.
"Program Halaqah salah satu modul pemulihan dengan menggunakan pendekatan agama di dalam Pelan Pembangunan Insan (PPI) yang diperkenalkan Jabatan Penjara Malaysia.
"Selain itu, di Penjara Penor sendiri turut dilaksanakan Program Pengajian Agama Islam (Tafaqquh Fiddin) dan Program Tahfiz Baitul Hikmah yang dijalankan secara kolaborasi bersama Yayasan Pahang.
"Penerimaan banduan terhadap keseluruhan program keagamaan di sini sangat baik dan perubahan ketara dapat dilihat terhadap nilai penghayatan agama para banduan.
"Matlamat pemulihan banduan bukan sahaja berjaya malah perubahan tingkah laku positif mereka juga lebih bersifat lestari sekali gus mengurangkan kes residivis atau kes banduan berulang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Malaysia #QuranHour sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 peringkat negeri Pahang di lokasi utama, Penjara Penor di sini pada Rabu.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Penjara Negeri Pahang, Raja Mohd Amozon Raja Daud; Pengerusi Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Md Abdul Ishak dan Setiausaha Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Mohd Rozamli Mohd Rozak.
Seramai 80 banduan mengambil bahagian pada program itu yang membawa Surah Al-Insan, dipimpin qari jemputan, Imam 1 Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Muhammad Izzan Idris dan pentadabbur, Prof Madya Dr Mahyuddin Ismail dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Fayrouz berkata, dalam menambah nilai warga kerja penjara sebagai insan abrar seperti amanah, takwa, infak, ikhlas, berorientasikan akhirat, teguh, sabar, kawalan diri, taat, bina jiwa dan syukur, pelbagai program kursus dan latihan berbentuk kerohanian telah dan akan dilaksanakan secara berterusan di peringkat institusi.
"Program seperti Malaysia# QuranHour juga diharapkan dapat memberikan penghayatan dan mesej kepada penghuni Penjara Penor melalui perkongsian tadabbur Surah Al-Insan yang disampaikan.
"Melalui langkah ini dilihat dapat membantu mencapai sasaran jabatan dalam memastikan dua pertiga daripada jumlah penghuni penjara menjalani inisiatif pemulihan dalam komuniti menjelang 2030.
"Bagi mencapai hasrat tersebut, saya mengharapkan penglibatan lebih ramai individu, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi (IPT), agensi kerajaan dan swasta serta masyarakat bersama memberikan sumbangan dalam pelbagai bidang khususnya kepada banduan yang menjalani program pemulihan dalam komuniti.
"Pada masa sama, program berbentuk kerohanian seperti Malaysia#QuranHour dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Pertubuhan Rumah Ngaji Pahang (PRNP) dapat diteruskan dan diperluaskan ke penjara lain seluruh negara," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia #QuranHour berlangsung hari ini
Malaysia #QuranHour: Orang ramai mula banjiri Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin
Malaysia#QuranHour: Jadikan al-Quran sebagai tonggak utama kehidupan
Malaysia #QuranHour medium generasi muda dekati al-Quran
Tidak pernah terlepas sertai program #QuranHour
Erma Fatima teruja sertai Malaysia #QuranHour kali pertama
20,000 peserta sertai Malaysia #QuranHour
Sokong penekanan agama dalam urusan pentadbiran
Malaysia #QuranHour platform terbaik tarik anak muda dekati al-Quran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!