Budak dikhuatiri lemas ketika mandi sungai

Anggota bomba melakukan operasi SAR bagi mencari mangsa yang dikhuatiri lemas di kawasan kuala sungai Kampung Serusup, Tuaran.
Anggota bomba melakukan operasi SAR bagi mencari mangsa yang dikhuatiri lemas di kawasan kuala sungai Kampung Serusup, Tuaran.
A
A
A

TUARAN - Seorang kanak-kanak perempuan dikhuatiri lemas manakala dua lagi terselamat ketika mandi di kuala sungai Kampung Serusop di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Syaza Wardiah Muesa, 12, hilang dipercayai akibat dibawa arus, manakala dua lagi rakannya, Adum Rusdi, 13 bersama adiknya Ehsan, 10, sempat diselamatkan sebelum dibawa ke hospital.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohd Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.33 petang.

"Ketiga-tiga kanak-kanak itu dikatakan sedang mandi di kawasan kuala sungai yang terletak di hadapan rumah penduduk.

"Kejadian itu disedari penduduk dan dua beradik terbabit sempat diselamatkan, manakala seorang lagi telah dibawa arus. Dua kanak-kanak yang selamat dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Katanya lagi, penduduk kampung kemudian bertindak mencari mangsa yang hilang tetapi gagal sebelum memaklumkan kepada pihak bomba.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dilakukan dengan menggunakan kaedah pencarian atas permukaan air dan kita fokus di radius satu kilometer dari lokasi kejadian.

"Bagaimanapun, setakat ini mangsa belum ditemui dan maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!