GM Klang rai penghuni rumah amal

A
A
A

Sukarelawan GM Klang- Sinar Harian bergambar bersama penghuni Persatuan Rumah Amal Murni Kajang.
Sukarelawan GM Klang- Sinar Harian bergambar bersama penghuni Persatuan Rumah Amal Murni Kajang.

Bersempena sambutan Hari Kemerdekaan negara, Pusat Borong GM Klang dengan kerjasama Sinar Harian tampil mengadakan program Kasih Merdeka di Persatuan Rumah Amal Murni Kajang, di sini, baru-baru ini.

Sepanjang sehari program itu berlangsung, pelbagai aktiviti diadakan antaranya membersihkan kawasan rumah, menghias, perkhidmatan gunting rambut, urutan refleksologi, memotong kek dan sebagainya.

Pengurus Besar Kumpulan GM, Lim Ying Hui berkata, pihaknya berbesar hati dapat mengadakan program penuh makna bersama-sama pengundi rumah berkenaan.

Katanya, selain menanam semangat sukarelawan dalam kalangan pekerja syarikatnya yang turut serta dalam program berkenaan, aktiviti itu juga bertujuan berkongsi kegembiraan dengan golongan tidak bernasib baik itu.

YING HUI
YING HUI

"Menjadi harapan terbesar saya untuk memberi kegembiraan kepada penghuni di sini (Persatuan Rumah Amal Murni Kajang) kerana berpeluang sama-sama meraikan hari kemerdekaan negara.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga harap, syarikat kami berpeluang mengadakan lebih banyak program seumpama ini pada masa akan datang supaya kita dapat memberi kegembiraan kepada lebih ramai pihak,” katanya kepada Sinar Harian.

Jadi pilihan lokasi

Sementara itu, Pengurus Kanan Komunikasi Jenama GM Klang, Norsuhaida Othman berkata, bertepatan dengan tema ahun ini iaitu menyantuni persatuan tau rumah amal, persatuan berkenaan menjadi pilihan lokasi penganjuran aktiviti kali ini.

Katanya, antara faktor utama persatuan ini dipilih adalah sebagai hadiah’ untuk penghuni rumah berkenaan yang rata-ratanya golongan kurang upaya (OKU).

NORSUHAIDA
NORSUHAIDA

“Kehadiran kami (kakitangan Pusat Borong GM Klang dan Sinar Harian) yang melakukan aktiviti seperti membersihkan kawasan rumah serta pelbagai aktiviti santai lain jelas memberi kegembiraan kepada mereka.

“Selain itu, bersempena dengan sambutan kemerdekaan ini juga, kita ingin menyemarakkan semangat kepada mereka untuk sama- sama meraikan bulan penting ini.

“Bertepatan dengan kemerdekaan itu sendiri, kita ingin penghuni rumah ini juga menikmati perasaan yang sama iaitu kebebasan, walaupun banyak kekangan yang dialami, namun mesej yang ingin kita sampaikan adalah mereka tidak dipinggirkan,” katanya.

Pemasangan Jalur Gemilang giat dilakukan sukarelawan.
Pemasangan Jalur Gemilang giat dilakukan sukarelawan.

Menyentuh mengenai aktiviti CSR, Norsuhaida berkata, sememangnya menjadi amalan syarikat dengan kerjasama Sinar Harian menganjurkan aktiviti seumpama itu.

Bagaimanapun katanya, pemilihan lokasi atau kumpulan yang diraikan dipelbagaikan seiring dengan hasrat untuk membantu seramai mungkin golongan yang memerlukan.

Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Rumah Amal Murni Kajang, Linda Wan Siew Loo berkata, pihaknya berbesar hati menerima kehadiran Pusat Borong GM Klang dan Sinar Harian untuk mengadakan aktiviti bersama penghuni rumah berkenaan.

Harapkan bantuan

Katanya, persatuan yang telah beroperasi sejak lebih 17 tahun dan kini mempunyai seramai 23 penghuni sememangnya mengharapkan bantuan atau dana orang awam sepenuhnya.

SIEW LOO
SIEW LOO

“Kami sangat mengalu-alukan kedatangan pihak GM Klang dan Sinar Harian kerana dengan adanya aktiviti sebegini ia memberi peluang kepada penghuni untuk berinteraksi dengan orang luar dan dapat melakukan aktiviti santai.

“Rata-rata penghuni yang ada di sini sebatang kara dan tiada ahli keluarga. Jadi dengan kedatangan pelbagai pihak ke tempat kami inilah dapat memberi sedikit kegembiraan kepada mereka.

“Jumlah yang ada di sini tidak ramai memandangkan ruang atau tempat begitu terhad. Pemilihan penghuni juga dibuat penilaian ketat kerana kami fokus kepada mereka yang benar-benar susah dan tiada ahli keluarga,” katanya.

Menurut Siew Loo, hampir 70 peratus penghuni rumah berkenaan perlu mendapatkan rawatan di hospital disebabkan pelbagai masalah kesihatan yang dihadapi.

“Kesemua petugas di rumah ini terdiri daripada sukarelawan dan dari masa ke semasa kita telah meningkatkan mutu perkhidmatan dengan mengambil sukarelawan yang bersesuaian,” katanya.

Perkhidmatan gunting rambut turut disediakan kepada penghuni pusat berkenaan.
Perkhidmatan gunting rambut turut disediakan kepada penghuni pusat berkenaan.

Ditanya mengenai cabaran terbesar dalam menguruskan persatuan yang bergantung sepenuhnya kepada dana awam, Siew Loo berkata, sumber kewangan yang mencukupi amat diperlukan.

Bagaimanapun katanya, sokongan dan bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak termasuklah penduduk setempat amat menggalakkan.

“Persatuan kita dikunjungi pelbagai pihak bukan sahaja daripada komuniti Cina tetapi pelbagai kaum dan kami sangat berterima kasih dengan bantuan tersebut.

“Kami di pihak persatuan berharap agar mutu perkhidmatan khususnya aspek penjagaan kepada penghuni akan sentiasa ditingkatkan kerana mereka rata-ratanya sudah tidak mempunyai keluarga,” katanya

Saksikan video penuh Kasih Merdeka di: https://www.facebook.com/sinarharian/videos/288097587184156

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!