Kelab Bundesliga Jerman, VfL Wolfsburg lebar sayap ke Malaysia
KELAB Bundesliga Jerman, VfL Wolfsburg membuka pejabat Asia Tenggara di Menara Matrade, Kuala Lumpur bagi mempromosikan program teknikal dan perniagaan ke perniagaan (B2b) berkaitan bola sepak di rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutif VfL Wolfsburg, Michael Meeske berkata, dengan pembukaan pejabat Kuala Lumpur mereka, kelab itu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pasukan di Malaysia dalam pembangunan bola sepak.
“Malaysia adalah sebuah negara yang berpengaruh dan mempunyai hubungan kukuh dengan Jerman, yang memudahkan kami sebagai sebuah kelab bola sepak Jerman.
"Oleh itu, kami memutuskan untuk membuka pejabat di sini, Malaysia kerana ia merupakan titik akses yang baik di rantau ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran pejabat itu pada Rabu.
Sebagai rekod, ini adalah pejabat luar negara kedua yang ditubuhkan The Wolves selepas Beijing, China pada 2017.
Kata Meeske, kelab itu merancang untuk ke Malaysia tahun depan bagi mengeratkan hubungan dengan komuniti bola sepak Malaysia.
“Kami sedang merancang untuk datang bersama pasukan ke Malaysia, mungkin tahun depan dan ia sepatutnya menjadi peluang yang baik untuk bekerjasama dengan kelab bola sepak lain kerana itu misi kami dalam dunia bola sepak,” katanya.
Sebagai rekod, VfL Wolfsburg ialah sebuah kelab profesional yang ditubuhkan pada 1945 di bandar Wolfsburg, Jerman, tempat Volkswagen diasaskan, mendapat kenaikan ke Bundesliga pada 1997 dan mengekalkan status elit sejak itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!