Wujudkan garis panduan jemput pelajar tahfiz ke program luar

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) bercadang bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mewujudkan garis panduan khusus untuk menguruskan jemputan pelajar tahfiz ke program luar.

Pengerusi PITAS, Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa berkata, sebelum ini JAIS sudah mewujudkan Buku Peraturan Murid (Sistem Pembangunan Sahsiah Murid) bagi intitusi tahfiz persendirian, namun tiada garis panduan khusus berkaitan jemputan pelajar ke program luar.

"Jadi kami nampak mungkin kita boleh duduk (berbincang) bersama JAIS, supaya boleh mengeluarkan garis panduan khusus berkaitan isu ini.

"Adanya garis panduan yang lebih khusus ini, maahad tahfiz dan sekolah agama akan lebih cakna dan berhati-hati dalam memenuhi jemputan luar.

"Kita juga berharap orang ramai tidak menjemput pelajar tahfiz ke tempat yang tidak sesuai seperti konsert, kasihan dengan pelajar,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu kehadiran sekumpulan pelajar tahfiz di Kepci Music Fest di Stadium Malawati, Sabtu lalu.

Muhamad Hafiz juga memaklumkan bahawa para pelajar tersebut adalah penuntut di sebuah rumah kebajikan dan bukan daripada sekolah tahfiz seperti yang ditularkan.

"Bila kita lihat balik sebenarnya sekolah ini bukan sekolah tahfiz macam kita, ia lebih kepada pusat kebajikan kepada pelarian Rohingya dan Myanmar yang dikenal pasti di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) selain disahkan oleh individu yang menjemput (mereka) sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Ada beberapa tahfiz dan pusat kebajikan lain turut dijemput program serupa tapi untuk makan pada sebelah petang sahaja," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang individu bernama Andrie Ung Han Xiang mengaku bertanggungjawab membawa pelajar tahfiz ke konsert itu bagi memberi peluang kepada anak-anak yatim yang kurang berkemampuan merasai pengalaman menghadiri program tersebut.

Sementara itu, mengulas mengenai isu yang kononnya 200 sekolah agama di Selangor ditutup, Muhamad Hafiz, berkata perkara itu adalah fitnah dan tidak benar sama sekali.

PITAS kini menaungi lebih 400 maahad tahfiz yang berdaftar di bawah JAIS. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Ahmad Fadhli persoal tindakan jemput anak-anak tahfiz ke konsert

Kerajaan, KFC tak terlibat isu pelajar tahfiz ke konsert - Andrie

Konsert langgar syariat Islam, tidak sesuai budaya orang timur - Zuraida

Konsert bukan anjuran kerajaan tapi korporat, swasta - Mohd Na'im

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!