Ribut jejas persiapan sambutan Hari Kebangsaan di Perak

Keadaan pentas utama yang dilanda ribut pada petang Rabu menjejaskan persiapan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak yang akan berlangsung esok. - Foto pembaca/tular
Keadaan pentas utama yang dilanda ribut pada petang Rabu menjejaskan persiapan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak yang akan berlangsung esok. - Foto pembaca/tular
A
A
A

IPOH - Kejadian ribut yang melanda sekitar Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada petang Rabu menjejaskan persiapan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak yang akan disambut esok.

Tinjauan Sinar Harian mendapati antara kemudahan yang rosak dipukul ribut termasuklah pentas utama, khemah tetamu dan tiang lampu jalan berhampiran.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 5.45 petang mengenai kejadian pokok tumbang menghalang laluan.

Menurutnya, susulan itu pihak polis turun padang meninjau keadaan sekitar lokasi kejadian ribut termasuklah di pekarangan Stadium Perak dan Stadium Indera Mulia di sini.

Foto yang tular di media sosial menunjukkan keadaan pentas tetamu yang rosak akibat ribut di pekarangan Stadium Perak pada Rabu.
Foto yang tular di media sosial menunjukkan keadaan pentas tetamu yang rosak akibat ribut di pekarangan Stadium Perak pada Rabu.

"Setakat ini tiada sebarang kecederaan dan kejadian tidak diingini dilaporkan dan kita bersama-sama agensi lain akan membantu penganjur membaik pulih kemudahan yang rosak sehingga siap dibaiki

"Insya-ALLAH program Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak akan tetap diteruskan di sini esok. Orang ramai boleh hadir," katanya ketika ditemui di pekarangan Stadium Perak di sini pada Rabu.

Yahaya berkata, antara agensi yang terlibat membantu termasuklah pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), MBI, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan beberapa agensi lain.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tular di media sosial mengenai kejadian ribut yang berlaku di pekarangan Stadium Perak di sini pada Rabu.

Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak berlangsung esok bermula jam 7 pagi di perkarangan Stadium Perak di sini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dijadual berangkat ke majlis tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!