Polis tahan tiga lelaki disyaki terlibat rompak berkumpulan

Polis menahan tiga lelaki disyaki melakukan rompakan secara berkumpulan melibatkan empat kes di Triang dan Kerayong.
Polis menahan tiga lelaki disyaki melakukan rompakan secara berkumpulan melibatkan empat kes di Triang dan Kerayong.
A
A
A

BERA - Tiga lelaki ditahan pada Selasa selepas disyaki melakukan rompakan secara berkumpulan melibatkan empat kes di Triang dan Kerayong sejak 19 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 30 hingga 38 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera kira-kira jam 3 petang.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis amphetamine.

"Ketiga-tiga suspek yang ditangkap juga mempunyai beberapa rekod jenayah dan beberapa rekod dadah lampau.

"Kesemua suspek telah direman selama lima hari untuk siasatan di bawah Seksyen 394/395/397 dan juga Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak polis turut menangkap seorang wanita tempatan berumur 47 tahun bagi membantu siasatan berkaitan kes kecurian barang kemas di sebuah kedai emas di Triang sebagaimana yang dilaporkan pada 24 Ogos lalu.

Ujar beliau, wanita tersebut direman selama empat hari di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut.

"Dengan tangkapan ini, pihak polis telah berjaya menyelesaikan empat kes rompak berkumpulan dan satu kes curi di kedai emas yang telah dilaporkan di daerah Bera," tambah Zulkiflee.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!