Sambutan Hari Kebangsaan tetap diteruskan - MB Perak

Saarani (kiri) ketika meninjau keadaan khemah tetamu yang rosak dipukul ribut di pekarangan Stadium Perak pada Rabu.
Saarani (kiri) ketika meninjau keadaan khemah tetamu yang rosak dipukul ribut di pekarangan Stadium Perak pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Perak tetap diteruskan di sebalik kejadian ribut yang merosakkan beberapa kemudahan sempena sambutan itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beberapa agensi dan jabatan berkaitan telah bertungkus lumus untuk membaiki segala kerosakan yang berlaku bagi memastikan acara sambutan berjalan lancar.

"Persiapan ini kita dah laksanakan seminggu, kejadian ribut telah melanda kawasan ini dengan semua khemah diterbangkan angin. Walau bagaimanapun dengan komitmen yang tinggi pelbagai agensi dan jabatan sekarang mereka sedang membuat pembinaan semula kelengkapan dan dijangka siap malam ini.

"Rakyat Perak tak perlu bimbang apa-apa. Esok kita jemput datang beramai-ramai menyaksikan perarakan dan ini satu peluang menunjukkan jati diri kita, kesyukuran ke atas kemerdekaan yang kita kecapi," katanya ketika meninjau kesan kejadian ribut yang melanda pekarangan Stadium Perak di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian mendapati antara kemudahan yang rosak dipukul ribut termasuklah pentas utama, khemah tetamu dan tiang elektrik berhampiran.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 5.45 petang mengenai kejadian pokok tumbang menghalang laluan.

Menurutnya, susulan itu pihak polis turun padang meninjau keadaan sekitar lokasi kejadian ribut termasuklah di pekarangan Stadium Perak dan Stadium Indera Mulia di sini.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai kejadian ribut yang berlaku di pekarangan Stadium Perak di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak berlangsung esok bermula jam 7 pagi di perkarangan Stadium Perak di sini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dijadual berangkat ke majlis tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Ribut jejas persiapan sambutan Hari Kebangsaan di Perak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!