Perlu berani pertahankan negara, bukan hanya laung slogan
SHAH ALAM - Rakyat Malaysia disarankan untuk teguh mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara yang telah digapai sejak 31 Ogos 1957.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mengekalkan kemerdekaan negara bukan hanya dengan laungan slogan tetapi perlu selari dengan tindakan berani mempertahankan perkara tersebut.
“Ini kerana, keamanan, kemakmuran dan pembangunan yang pesat pada hari ini bukan hadir disebabkan pengorbanan satu hari.
“Namun, ia merupakan satu pengorbanan yang getir dan panjang,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 yang akan diadakan di Dataran Putrajaya pada Khamis merupakan kali kelima ia dilaksanakan di lokasi sama iaitu sebelum ini pada 2003, 2005, 2018 dan 2019.
Berkonsepkan perpaduan dan kepelbagaian budaya Malaysia, acara di bawah Program Gegar Madani itu dijangka berlangsung dengan penuh warna-warni yang mana ia akan diserikan lagi dengan persembahan daripada artis terkenal tanah air antaranya Zizi Kirana, Nadeera Zaini dan Roshini Balachandran.
Tambah Ismail Sabri, tanggal 31 Ogos 2023 menjadi tarikh keramat bagi mengimbau kembali perjuangan mereka yang berkorban nyawa, keluarga dan harta untuk kemerdekaan negara tercinta.
“Kita perlu terapkan rasa kebertanggungjawaban kepada negara dan memupuk semangat patriotisme serta jati diri yang murni kepada tanah air tercinta," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!