Penjawat awam pendukung aspirasi kerajaan

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Penjawat awam berperanan menyokong dasar negara termasuk memberi kesetiaan kepada kerajaan meskipun mempunyai ideologi politik yang berbeza.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, ia bagi memastikan setiap dasar dan polisi yang dilaksanakan kerajaan memberi impak yang maksimum kepada rakyat dan negara.

"Penjawat awam perlu terjemahkan erti kemerdekaan dengan meningkatkan prestasi dan semangat patriotisme selain menilai semula peranan dan tanggungjawab mereka bagi memastikan negara terus mengecapi kemakmuran.

"Ia perlu bermula daripada pimpinan tertinggi dalam perkhidmatan awam hinggalah di peringkat bawah menggerakkan jentera pentadbiran negara harus jelas bahawa amanah dan segala kuasa yang diberikan ketika ini adalah untuk kepentingan rakyat serta kemakmuran negara secara umumnya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Justeru, Adnan meminta penjawat awam menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memartabatkan negara dengan memaknai kemerdekaan dari segi jiwa dan pemikiran yang merdeka.

Katanya lagi, pemimpin dan penjawat awam perlu bersikap profesional untuk memastikan negara benar-benar menelusuri sistem demokrasi yang matang serta memberi manfaat kepada semua pihak.

"Sehubungan itu, Cuepacs menyeru seluruh warga perkhidmatan awam untuk terus bersama dengan kerajaan bagi membangunkan Malaysia dengan nilai dan aspirasi yang dibawa melalui konsep Malaysia Madani," ujarnya.

Artikel Berkaitan: