Super Blue Moon terakhir terbit malam ini
SHAH ALAM- Fenomena Super Blue Moon terakhir muncul pada malam ini dan akan kembali semula pada 2037.
Orang ramai berpeluang menyaksikan kejadian tersebut pada jam 7 malam Rabu.
Kejadian tersebut tiada kaitan dengan warna, sebaliknya merujuk kepada bulan penuh yang berada lebih dekat dengan bumi dalam orbitnya sehingga menghasilkan penampilan lebih besar dan sedikit cerah.
Fenomena tersebut merupakan kali kedua berlaku pada Ogos dan sebelum ini fenomena pertama berlaku pada 1 Ogos lalu.
Sementara itu, perkara tersebut turut menerima pelbagai reaksi daripada netizen di media sosial berkenaan fenomena tersebut.
Bagi Syuhaidah Anne, sambil melihat bunga api sempena ambang merdeka, orang ramai boleh turut menyaksikan kejadian bulan purnama tersebut.
“Malam ini nak tengok bunga api. Sekali jalan boleh tengok bulan,” tulisnya.
Menurut pengguna Facebook Azali Azzanova, pemandangan malam ini dijangka lebih cantik pada malam ini.
“Pemandangan cantik dan indah malam ini dengan bulan purnama yang cukup mempersonakan,” katanya.
Dalam pada itu, pengguna media sosial Badrul Bahri berkata, kejadian tersebut seolah-olah turut sama meraikan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-66.
“Bulan pun nak sambut merdeka juga,” tulisnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!