Sematkan jati diri demi kemerdekaan
PADA sambutan Hari Kebangsaan kali ke-66 ini, eloklah kalau kita melihat kembali pembentukan jati diri selaku anak Malaysia di alaf baharu.
Jati diri ialah unsur-unsur kehidupan yang mencerminkan lahiriah individu atau masyarakat.
Dalam pengertian sahihnya, ia merupakan identiti individu, masyarakat dan negara bangsa yang mempunyai sifat-sifat keutuhan dibanggakan.
Namun hari ini, jati diri sebahagian anak muda khususnya semakin menipis lantaran ditelan arus kemodenan, bahkan pengaruh Barat yang tiada sempadan sehingga ada yang tidak mengambil kisah erti kemerdekaan 31 Ogos 1957.
Apabila proses yang boleh dianggap sebagai penjajahan minda sudah menyeluruh dan meliputi pelbagai lapisan kehidupan masyarakat, jati diri tidak akan memberi erti lagi.
Pada masa ini, secara realitinya kita sudah dijajah secara terang-terangan sekali lagi, cumanya tidak melibatkan peluru dan senjata atau berlakunya pertumpahan darah.
Lihatlah kepada ragam budaya hidup dan pendekatan pemikiran yang sedang digayakan rakyat terutamanya anak muda hari ini.
Setelah sekian lama pejuang kemerdekaan berjuang dengan keringat dan air mata sehingga banyak nyawa terkorban demi memerdekakan negara, generasi yang menjadi pewaris kemerdekaan terutama pada era milenium ini sudah mula dihanyutkan dengan budaya asing yang sia-sia.
Naratif Barat hari ini diagung-agungkan, pendekatan ketimuran dilihat ketinggalan zaman.
Ia memperlihatkan betapa longgarnya jati diri warga Malaysia yang mendukung norma masyarakat ketimuran dan budaya hidup Islam.
Tidak salah andai institusi pengajian Barat diguna pakai untuk pendekatan yang lebih baik tetapi harus berhati-hati dan bijaksana dalam proses memilih mana wajar ditelan, mana harus dijauhkan.
Kita tidak mahu negara Malaysia terus wujud dalam keadaan jati diri negara bangsa berkecai dek kerana hilangnya sifat-sifat keutuhan negara yang dibanggakan.
Jadi, dalam memastikan jati diri rakyat Malaysia tidak terus terhakis, semangat cintakan negara perlu sentiasa disemai dalam diri supaya semangat patriotik pejuang-pejuang kemerdekaan tidak terus terkubur.
Bak kata Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj: “Merdeka itu bukanlah suatu benda yang mudah boleh didapati, melainkan ialah dikehendaki untuk mendapatkannya iaitu pengorbanan yang sebenar pengorbanan.”
Selamat hari merdeka!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!