Content merapu, boleh didakwa atau tidak?

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

DEMI sebuah kemasyhuran, sebilangan pencipta kandungan di media sosial sanggup memperalatkan diri dan menebalkan muka dalam pembikinan content yang merapu.

Mungkin ada yang bertanya, bolehkah pencipta kandungan sebegini didakwa di mahkamah?

Mengikut peruntukan undang-undang, individu yang menyalahgunakan media sosial dengan membuat kenyataan atau kandungan antaranya berbaur lucah, jelik dan palsu, mereka boleh diheret ke muka pengadilan.

Antara kes yang mendapat perhatian ramai ialah usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman pada tahun lepas.

Peniaga berusia 36 tahun itu didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang melalui akaun Instagram miliknya pada April tahun lalu.

Pelantun lagu Kelepuk Raya itu tidak mengaku bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.

Akta tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dua bulan lalu, perbuatan seorang pelawak wanita kelahiran Singapura memperlekehkan Malaysia dalam satu persembahan komediri di New York, Amerika Syarikat mengundang kecaman pelbagai pihak.

Artikel Berkaitan:

Klip video menerusi akaun TikTok pelawak terbabit, Jocelyn Chia turut menghina seorang penonton yang juga warga Malaysia dengan perkataan kesat.

Meskipun Jocelyn tidak menunjukkan sebarang penyesalan, namun Singapura lebih dahulu meminta maaf dan menyatakan wanita itu bukan lagi rakyat republik tersebut.

Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat permohonan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mendapatkan identiti penuh dan lokasi terkininya.

Polis juga memaklumkan, Jocelyn disiasat mengikut Seksyen 504/505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Sementara baru-baru ini, nama ‘Abang Tesla’ pula hangat diperkatakan apabila rakaman video pengumumannya berkahwin buat kali kedua tular TikTok sehingga mendapat kecaman ramai.

Menerusi kapsyen, lelaki itu memberitahu perkahwinan keduanya mendapat restu isteri pertamanya, namun dia akhirnya tampil meminta maaf kerana perkongsian berkenaan menyebabkan golongan lelaki lain dimarahi isteri.

Kandungannya turut mendapat kecaman daripada beberapa artis tanah air seperti Shila Amzah, Nabila Huda dan Anzalna Nasir, termasuk penerbit serta pengarah filem, Michael Ang yang menempelak alasan pempengaruh TikTok itu kononnya terpaksa bernikah kerana zuriat.

Perkongsian Abang Tesla ini sebenarnya tidaklah serius sehingga tergolong dalam kesalahan jenayah, namun situasi yang berlaku telah menjentik emosi wanita terutama dalam isu sensitif poligami.

Hakikatnya, kebebasan bersuara di negara ini tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

Setiap perkongsian kandungan perlulah mengikut peraturan yang digariskan oleh pihak berkuasa.

Namun, budaya memuat naik kandungan merapu yang menyentuh sensitiviti agama, bangsa, negara termasuk unsur-unsur lucah, jelik dan palsu di negara ini perlu dihentikan.

Sebaliknya, pencipta kandungan perlu mengambil sudut positif dalam menghasilkan karya yang bermoral dan lebih mendidik.

Lihat sahaja kejayaan yang dihasilkan pempengaruh media sosial, Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman.

Pemuda berusia 31 tahun yang popular dengan tagline ‘Hai, Whats Up Guys’ sentiasa menjadi inspirasi bukan sahaja dalam bidang masakan, malah perniagaan.

Tidak hairanlah apabila beliau dinobatkan sebagai pemenang kategori Creator Of The Year pada TikTok Awards Malaysia 2023 yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur baru-baru.

Begitu juga dengan pempengaruh terkenal, Dr Ahmad Samhan Awang yang sering berkongsi ilmu perubatan kesihatan, selain Dr Ben Gee, seorang doktor gigi yang aktif memberi nasihat tentang kesihatan pergigian.

Terpulanglah kepada pencipta kandungan untuk memilih jalan mana yang lebih baik.

Kalau masih menganggap content merapu lebih mudah buat duit, kenalah bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya termasuk dalam perbuatan yang boleh diheret ke muka pengadilan.

* Noor Azlida Alimin ialah Wartawan Meja Mahkamah & Jenayah Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!