Doa ibu agar anak tak jejak kaki kali ketiga ke penjara

Timbalan Pengarah Penjara Sungai Udang Melaka, Penolong Kanan Komisioner Penjara Mohd Hafizey Yahaya (kiri) memberikan kata-kata semangat dan nasihat kepada banduan pada program PBSL Ihsan Madani Penjara Sungai Udang pada Rabu.
Timbalan Pengarah Penjara Sungai Udang Melaka, Penolong Kanan Komisioner Penjara Mohd Hafizey Yahaya (kiri) memberikan kata-kata semangat dan nasihat kepada banduan pada program PBSL Ihsan Madani Penjara Sungai Udang pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Seorang ibu masih meletak harapan yang tinggi untuk melihat anak sulungnya berubah dan menjalani kehidupan lebih baik serta tidak menjejakkan kaki buat kali ketiga ke dalam penjara sebelum beliau menutup matanya.

Warga emas yang ingin dikenali sebagai Wee berusia hampir 70 tahun dari Bukit Baru di sini berkata, sebagai ibu, beliau telah sedaya upaya memberi nasihat kepada anak sulungnya itu untuk sentiasa menjadi seorang yang penyabar dan tidak melakukan perbuatan menyalahi undang-undang, namun ia masih tidak berbekas di hati anak lelakinya yang dikenali sebagai Shah, 40.

"Hukuman yang diterimanya (penjara) sebanyak dua kali adalah atas kesalahannya sendiri...saya telah banyak kali menasihati supaya jangan buat hal lagi supaya tidak masuk penjara buat kali kedua tetapi tidak diendah cakap saya sebagai seorang ibu.

"Walaupun saya sudah tua dan tidak larat lagi, saya akan terus memberi sokongan untuknya berubah kerana dia anak sulung saya dan seorang yang pandai walaupun baran sedikit," katanya kepada pemberita selepas Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani Penjara Sungai Udang di sini pada Rabu.

Wee berkata, beliau juga sering bangun pada waktu malam untuk solat tahajud dan berdoa untuk kesejahteraan anak sulungnya itu dan dihindari daripada terjebak melakukan kesalahan jenayah.

Sementara itu, Shah berkata, dia berharap penjara kali kedua menjadi hukuman terakhirnya memandangkan usianya kini telah mencecah 40 tahun selain kasihan terhadap ibunya yang terpaksa melihat kehidupannya tidak sempurna seperti dua lagi adik-beradiknya.

Shah berkata, dia masuk ke Penjara Sungai Udang buat kali kedua atas kesalahan khianat pada 28 April lepas dan sepatutnya dibebaskan pada 28 Disember depan, namun bersyukur dibebaskan awal di bawah program PBSL.

"Saya berharap dapat menebus semua kesilapan saya sebelum ini dan membalas jasa ibu kerana telah banyak menyusahkannya. Saya harap ini kali terakhir menjejakkan kaki ke penjara.

"Selain itu, saya berharap dapat berbakti kepada masyarakat kerana banyak pengajaran yang saya peroleh walaupun hanya empat bulan menjalani hukuman di penjara," katanya yang sebelum ini pernah menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, pada program PBSL Ihsan Madani Penjara Sungai Udang hari ini, 36 banduan dibebaskan dengan 21 daripada mereka diambil bekerja oleh majikan manakala enam banduan akan dibawa pulang keluarga masing-masing dan sembilan orang akan ditempatkan di rumah perantaraan (RP). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!