Sorakan merdeka tutup tirai pertemuan

Laungan merdeka oleh guru dan bekas pelajar SIS sebagai penutup pertemuan.
Laungan merdeka oleh guru dan bekas pelajar SIS sebagai penutup pertemuan.
A
A
A

SHAH ALAM - Sorakan merdeka selepas nyanyian lagu Jalur Gemilang oleh guru dan bekas pelajar sambil mengibarkan bendera Malaysia menutup tirai perjumpaan Persatuan Alumni Sultan Ibrahim School (ASIS) Ahad lalu.

Kegembiraan terpancar di wajah mereka apabila masing-masing teruja dalam perjumpaan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 tahun ini di Kelab Golf Perkhidmatan Tadbir (KGPA) dekat sini.

Majlis ASIS Merdeka Countdown Reunion bertemakan ‘Kau Selalu Di Hati Ku’ itu bertujuan membawa alumni dan bekas pelajar SIS Pasir Mas, Kelantan yang kebanyakannya bermastautin di sekitar Lembah Klang.

Ia bagi mengungkap rasa terhutang budi kepada guru-guru yang disayangi.

ASIS dipengerusikan Mohamad Zain Ibrahim atau lebih mesra dengan panggilan Abe Zain yang menggantikan pengerusi pertama, Allahyarham Tan Sri Zaman Khan yang telah kembali ke rahmatullah pada 11 September 2021.

Pertemuan kali ini diadakan selepas tiga bulan mereka berkumpul di Grand Riverview Hotel Kota Bharu, Kelantan pada 27 Mei lalu.

Mohamad Zain (berdiri, dua dari kanan) bersama guru dan bekas pelajar pada majlis tersebut.
Mohamad Zain (berdiri, dua dari kanan) bersama guru dan bekas pelajar pada majlis tersebut.

Mereka bertemu dalam suasana santai di mana bekas guru yang pernah bertugas di Pasir Mas meluahkan rasa gembira dapat melihat ramai bekas pelajar SIS telah berjaya dalam bidang masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Antara yang hadir ialah Guru Besar, Rahman Ali dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SIS selama 20 tahun, Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman serta beberapa guru lain yang mesra dengan panggilan Mr Thanda, Mr Maniam dan Mr Kim Swee.

Hadirin juga diperdengarkan mesej suara kiriman seorang bekas guru, Mr V V George yang tidak dapat hadir dengan menyatakan bahawa SIS Pasir Mas telah menjadi bahagian terbaik dalam hidupnya dengan murid-murid yang sentiasa menyantuni guru mereka sehingga kini.

Majlis juga diserikan dengan nyanyian bekas murid dan satu kejutan nyanyian oleh bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, diiringi kumpulan muzik bekas murid pimpinan Ahamed Ibrahim serta rakan-rakan.

Juruacara, Dr Rohani Ibrahim telah berkongsi satu kata hikmah Bruce Lee iaitu pengasas Jit Kune Do untuk guru-guru yang hadir: “Seorang guru bukanlah pemberi kebenaran, dia adalah pemandu, penunjuk jalan menuju kebenaran yang mana harus ditemukan sendiri oleh muridnya. Guru yang baik adalah pemangkin.”

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!