Bersama kekalkan kemerdekaan walau berbeza cita rasa nyanyian - Ahmad Zahid
SHAH ALAM - Walaupun berlainan era, rentak dan selera nyanyi, rakyat Malaysia perlu bersama-sama mempertahankan kemerdekaan melalui semangat patriotisme dan persefahaman, tanpa mengira latar belakang bangsa dan ideologi politik.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kebelakangan ini beliau melihat anak muda lebih gemar menyanyikan lagu Standing in The Eyes of The World yang dinyanyikan oleh ratu rock Malaysia, Nor Zila Aminuddin atau Ella dan Negaraku oleh Faizal Tahir.
“Hari ini adalah tarikh yang penuh bersejarah, 31 Ogos 2023. Negara kita akan menyambut Hari Kebangsaan sempena 66 tahun Malaysia yang kita semua cintai ini mencapai kemerdekaan.
“Dulu detik sebegini diraikan dengan menyanyi lagu kemerdekaan yang didendangkan seperti Tanggal 31 Ogos, Warisan, Bahtera Merdeka dan seumpamanya tetapi sekarang anak muda memiliki citarasa berbeza,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Khamis.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama bersatu hati dan mendukung erat semangat perpaduan berteraskan agenda Malaysia Madani demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negara
Katanya, ia perlu dilakukan kerana ia selari dengan tema Hari Kebangsaan 2023, Malaysia Madani, Tekad Perpaduan Penuhi Harapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!