Teh ais seringgit di Alor Setar

Ahmad Thalhaah tetap menjaga kualiti teh ais meskipun dijual pada harga lebih murah.
Ahmad Thalhaah tetap menjaga kualiti teh ais meskipun dijual pada harga lebih murah.
A
A
A

ALOR SETAR - Mengambil peluang keberkatan bulan Ramadan, memberikan idea kepada seorang peniaga air minuman bancuh di Taman Pelangi, Jalan Kuala Kedah di sini untuk menjual air minuman itu serendah RM1 sepanjang bulan berkenaan sejak 2016.

Ahmad Thalhaah (ulang: Thalhaah) Ahmad Sabri, 34, berkata dia menjual pelbagai jenis air minuman tetapi air minuman yang paling laris dan mendapat sambutan ramai pelanggan di gerainya itu ialah teh ais yang kini begitu laris hingga terjual kira-kira 1,000 bungkus sehari sejak tular dalam laman sosial.

“Masa mula jual teh ais RM1 pada bulan Ramadan 2016, sehari boleh habis antara 200 hingga 300 bungkus sahaja. Selepas viral dalam Facebook dan ‘Jalan-Jalan Cari Makan’ tahun lepas, jualan air teh ais saya ini meningkat dan jika dicampur dengan jualan air minuman lain sehari boleh habis hingga 1,500 bungkus,” katanya.

Dia berkata bagaimanapun hanya air milo ais dan nescafe ais dijual pada harga biasa iaitu RM2 sebungkus.

Ahmad Thalhaah berkata dia membancuh sendiri air teh aisnya mengikut resepi istimewanya.

“Walaupun saya jual pada harga RM1, tetapi saya tetap menjaga kualiti air bancuhan saya ini. Saya buat teh ais ini macam harga biasa orang minum antara RM1.50 dan RM2, pekat elok dengan susu,” katanya.

Ditanya tentang keuntungan, dia berkata meskipun air minuman digerainya itu dijual serendah RM1 sepanjang Ramadan namun ia masih menguntungkan kerana minuman itu dapat dijual dalam kuantiti yang banyak.

Katanya gerai minumannya itu dibuka 5 petang hingga 8 malam sepanjang Ramadan dengan pekerjanya mula membungkuskan air teh ais tersebut sekitar 4 petang.

Artikel Berkaitan:

“Saya ada lima orang pekerja, tetapi untuk teh ais saya bancuh sendiri, saya hanya membiarkan pekerja buat air lain diminta pelanggan.

“Disebabkan teh ais sangat laku, saya bancuh siap-siap dan pekerja bungkuskan terus teh ais ini awal supaya pelanggan tidak perlu menunggu lama,” katanya.

Ahmad Thalhaah berkata kebiasaannya penghujung Ramadan air teh aisnya sahaja boleh terjual sehingga lebih 1,000 bungkus sehari berikutan orang ramai yang bekerja luar mula balik kampung untuk menyambut hari raya.

“Jadi, bila hari terakhir Ramadan ini, saya akan beri 2,000 bungkus teh ais secara percuma kepada pelanggan yang datang ke gerai saya, sebagai amal (sedekah) jariah saya,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!