Perjuangan pemimpin terdahulu harus sentiasa diingati, dihargai - Fadillah
KUALA LUMPUR - Pengorbanan jerih perih pemimpin-pemimpin terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan harus sentiasa diingati dan dihargai, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Dalam catatan menerusi Facebook, beliau berkata, perjuangan serta pengorbanan para pemimpin terdahulu telah membentuk jati diri bangsa Malaysia sehinggalah hari ini.
"Merdeka harus sentiasa tersemai dalam setiap jiwa kita, bagi memperingati legasi dan warisan tokoh-tokoh seperti Almarhum ayahanda saya Yusuf Merais, antara yang berjuang dengan semangat waja penuh pengorbanan dan keazaman tanpa mengenal titik henti.
"Bersama rakan seperjuangannya Rosli Dhobi, mereka gigih mengukir sejarah kemerdekaan negara, sebagai sebuah kisah yang penuh dengan curahan keringat, pengorbanan dan keberanian. Perjuangan serta pengorbanan mereka yang terdahulu telah membentuk jati diri bangsa kita sehinggalah hari ini. Cahaya Merdeka yang menyala dalam jiwa kita adalah warisan daripada mereka yang merupakan sumber semangat yang mampu kita abadikan dalam setiap usaha kita sehingga kini,” katanya.
Fadillah berkata, meraikan kepelbagaian, hidup bersatu padu, menghargai keunikan budaya, kepercayaan dan etnik di negara telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan makmur.
Beliau berkata, semua kaum di negara ini saling melengkapi antara satu sama lain, dalam simfoni ikatan harmoni.
"Berakar umbi daripada legasi merdeka, perpaduan ini memaknai hubungan kukuh yang menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia.
"Segulai Sejalai (Seiring Sejalan) kita memandang ke hadapan, melukis potret kemajuan yang kemakmuran dan perpaduan bersatu,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menyeru semua rakyat bersatu hati dan mendukung erat semangat perpaduan berteraskan agenda Malaysia Madani demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negara.
Beliau menerusi catatan dalam Facebook berkata ia selari dengan tema Hari Kebangsaan 2023 iaitu "Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”.
"Dahulu, detik 31 Ogos diraikan dengan menyanyi lagu kemerdekaan yang didendangkan seperti Tanggal 31 Ogos, Warisan, Bahtera Merdeka dan seumpamanya. Tetapi sekarang saya tengok anak muda menyanyikan lagu dengan citarasa mereka seperti Standing in The Eyes of The World yang dinyanyikan oleh Ella dan lagu Negaraku yang Faizal Tahir nyanyikan.
"Walaupun kita berlainan era, rentak dan selera nyanyian juga berbeza, matlamat kita tetap sama, kita mahu mempertahankan apa yang telah dicapai selama ini melalui semangat patriotisme dan persefahaman, tanpa mengira latar belakang bangsa dan ideologi politik,” katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini berlangsung di Putrajaya.
Memasuki edisi kelima anjurannya di Putrajaya, pelbagai persembahan, pertunjukan udara dan perarakan disajikan bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik tanah air.
Signifikannya Hari Kebangsaan Malaysia ke-66 ialah tahun ini diadakan di Putrajaya yang merupakan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan, kini ditadbir Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!