'Saya bukan Superman, bukan Ironman' - Zii Jia

Lee Zii Jia - Foto AFP
Lee Zii Jia - Foto AFP
A
A
A

PERSEORANGAN lelaki utama negara, Lee Zii Jia berkata, dia tidak mengambil mudah penurunan ranking dunia semasanya.

Kemas kini terbaru Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menyaksikan ranking dunia Zii Jia kini turun satu anak tangga kepada ke-14.

Bagi Zii Jia, kekalahan demi kekalahan yang dialaminya cukup menyakitkan untuk dilalui, termasuk ketika terkandas dalam pusingan 16 Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark minggu lalu.

Bagaimanapun, dia tidak mengambil mudah keadaan itu dan sentiasa berusaha untuk kembali mendapatkan prestasi terbaik.

"Saya tiada sebarang formula untuk keluar daripada situasi ini," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

"Saya bukan Superman, saya bukan Ironman, saya tidak boleh berubah sekelip mata.

"Saya sedang melakukan segala yang boleh bersama pasukan saya. Saya ada jurulatih dan semua orang yang sedang membantu saya untuk kembali ke prestasi terbaik," katanya.

Mengulas mengenai kekalahannya kepada pemain tuan rumah, Anders Antonsen, dalam pusingan 16 Kejohanan Dunia, Zii Jia berkata jurulatihnya, Wong Tat Meng, menggesanya untuk bersabar melalui proses berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Dia menasihatkan saya benda yang sama kerana dia tahu apa yang sedang saya lalui dengan situasi seperti ini.

"Dia mahu saya bersabar kerana saya tidak suka kalah, sewaktu saya kalah, tiada siapa tahu betapa marahnya saya tetapi dia memujuk saya untuk bersabar.

"Dia kata mudah untuk bercakap tetapi untuk melalui proses ini memang susah," katanya lagi. - Astro Arena

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!