Kecederaan pemain himpit kemaraan Burnley di City Ground
PENGENDALI Burnley, Vincent Kompany mengakui The Clarets terpaksa membayar harga tinggi selepas mengesahkan kemaraan ke Pusingan Ketiga Piala Liga setelah beberapa pemain utama mengalami kecederaan.
Paling membimbangkan kecederaan pemain pertahanan Hjalmar Ekdal yang mengalami kecederaan lutut ketika Burnley melabuhkan cabaran Nottingham Forest dengan kemenangan 1-0 di Stadium City Ground, awal pagi Khamis.
Sebelum itu skuad kendalian Kompany terpaksa mengeluarkan Vitinho dan Aaron Ramsey kerana kecederaan sebelum Ekdal dikeluarkan menggunakan pengusung.
“Dari segi Viti (Vitinho), kami harap dia tidak terlalu teruk. Dan sudah tentu kehilangan dia merugikan pasukan di awal perlawanan.
“Daripada apa yang saya lihat ia kelihatan seperti kecederaan lutut untuk kedua-duanya (Vinho dan Ekdal). Namun kami amat berharap kecederaan Ekdal bukan serius apabila dia mengalami kesakitan yang amat sangat,” katanya.
Dalam perlawanan itu, pemain gantian Mohamed Zeki Amdouni muncul wira The Clarets apabila menyumbat gol pada minit ke-90 bagi mengesahkan pertemuan menentang kelab Divisyen Empat, Salford City.