PRK: Dakwaan akan tewas tidak lemahkan semangat calon Bebas

Samsudin bertemu orang ramai dan mengedarkan risalah di Pasar Awam Taman Dahlia, Johor Bahru pada Khamis.
Samsudin bertemu orang ramai dan mengedarkan risalah di Pasar Awam Taman Dahlia, Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Samsudin Mohamad Fauzi tidak berkecil hati atau ambil peduli dakwaan netizen bahawa beliau akan tewas pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu pada 9 September ini.

Menurut beliau, dakwaan berkenaan tidak melemahkan semangatnya dan menyifatkan perbuatan tersebut sebagai satu bentuk provokasi bertujuan mengelirukan pengundi.

Apatah lagi kata Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) itu, mereka yang menyerang beliau dalam media sosial menggunakan nama samaran dan akaun palsu.

"Saya cabar netizen yang memberi gambaran seumpama itu supaya memberi bukti atau alasan berasas yang menyokong kenyataan mereka.

"Saya terima kritikan berasas dan membina demi kebaikan, namun pandangan mereka adalah berbeza dengan realiti sebenar kerana sehingga kini saya menerima sambutan baik.

"Ada yang mahu bergambar bersama saya, berkongsi masalah masyarakat serta berbincang isu masyarakat, mereka selesa dengan kehadiran saya.

"Oleh itu saya berasakan pandangan segelintir individu berkenaan tidak masuk akal, mungkin mereka dibayar pihak tertentu, namun saya tidak pasti dengan perkara itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan sesi ramah mesra bersama penduduk di Medan Selera Taman Cempaka di sini pada Khamis.

Pada PRK Parlimen Pulai beliau akan bertemu dengan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat dan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar.

Mengulas lanjut, Samsudin yakin kumpulan pengundi dapat membuat penilaian sendiri tanpa terpengaruh dengan pandangan tidak berasas.

Samsudin berharap orang ramai tidak hanya menilai secara luaran namun menyeluruh demi masa depan mereka bagi lima tahun akan datang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!