Kerajaan Negeri Sembilan tunggu SOP REE - Aminuddin
SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan menyambut baik langkah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk mengeluarkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan unsur nadir bumi (REE).
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Negeri Sembilan mempunyai potensi besar dalam membangunkan REE dan SOP itu nanti membolehkan hasil mineral itu di lombong dengan lebih selamat selain mengelakkan pembaziran sumber.
"Memang kerajaan negeri sedang menunggu (SOP) sebelum kita membenarkan REE di lombong di Negeri Sembilan kerana kita juga mempunyai potensi yang besar dalam bidang itu.
"Saya berharap dengan adanya SOP itu nanti, ia akan dapat di lombong dengan selamat kerana kita tidak mahu mengejar satu hasil baharu tetapi kita kehilangan banyak kelebihan pada negeri kita," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Bandaraya Seremban pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad menyatakan SOP berkaitan REE akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata, jawatankuasa berkaitan mineral yang dipengerusikannya di bawah Majlis Mineral Negara akan dipanggil untuk berbincang mengenai perkara itu dan jawatankuasa itu turut dianggotai oleh Exco negeri yang bertanggungjawab berkaitan mineral dan galian.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri juga tidak menolak untuk menjadikan sumber mineral itu sebagai salah satu punca ekonomi negeri.
"Kita sudah kenal pasti (punca ekonomi) sebenarnya sejak tiga tahun yang lepas cuma apabila prosedur itu tidak ada,kita tidak mengumumkan kerana khuatir ada pihak- pihak yang mengambil kesempatan dalam perkara ini.
"SOP ini juga diharap dapat mengatasi masalah kecurian dan mereka yang mempunyai kawasan untuk perlombongan REE boleh mendapat manfaat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!