Rakyat Malaysia boleh langgan pakej 5G Rahmah mulai hari ini
PUTRAJAYA - Mulai hari ini bersempena sambutan Hari Kebangsaan, rakyat Malaysia layak untuk melanggan Pakej 5G Rahmah dengan spesifikasi asas pelan data melibatkan telefon pintar berharga tidak melebihi RM240.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, dalam kemeriahan sambutan kemerdekaan negara, rakyat boleh menggunakan peluang untuk melanggan pakej tersebut yang juga menawarkan pelan pascabayar serendah RM60 sebulan dengan data minimum 60GB sehingga Disember tahun ini.
"Penjawat awam juga akan mendapat rebat RM10 sebulan untuk tempoh 12 bulan bagi pakej pascabayar bernilai RM60 dan ke atas, mulai 16 September ini,” katanya pada sidang media selepas sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya di sini pada Khamis.
Bagi menghargai pengamal media di negara ini, Fahmi berkata, golongan itu juga boleh menikmati rebat sebulan bil telefon bimbit bagi bulan September, di bawah Insentif Rebat Rahmah Pengamal Media.
Beliau berkata, semua pengamal media yang memiliki kad perakuan media Jabatan Penerangan layak mendapat rebat satu bulan bil telefon bimbit itu.
"Insya-Allah akan ada beberapa perkara lagi akan diusahakan untuk pengamal media,” katanya.
Selasa lepas ketika melancarkan pakej 5G Rahmah Fahmi berkata, ia yang melibatkan pilihan telefon pintar sama ada jenama Samsung A14 5G atau Honor 90 Lite 5G itu, hanyalah merupakan spesifikasi asas bagi pemberian pakej 5G Rahmah dan pihak telco amat digalakkan menyediakan tawaran yang lebih baik. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!